Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Fasa Pertama Penghantaran Pulang Warga Myanmar Pada 29 September, Libatkan 1,476 Orang - KDN

Fasa Pertama Penghantaran Pulang
Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela melibatkan seramai 1,476 warga Myanmar akan dilaksanakan pada 29 September depan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa program berperingkat itu dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar.

“Kerajaan Madani melalui KDN telah memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela 5,000 pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal,” kata KDN dalam satu kenyataan media.

Fasa pertama penghantaran pulang

Menurut KDN, jumlah pelarian itu telah dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar melalui Nota Diplomatik No.649/47 01 (2026) bertarikh 13 Ogos 2026.

Tarikh penghantaran tersebut pula telah dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan.

Ia selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan.

Kerajaan Myanmar sebelum ini mencadangkan penghantaran itu dilakukan pada 28 Ogos.

KDN berkata proses penghantaran pulang itu akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

“Untuk tahun 2026, seramai 4,008 daripada mereka terutamanya etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

“Manakala 5,000 individu yang lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.

“Sehingga 15 Ogos 2026, terdapat 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen.

“Perlu ditegaskan bahawa jumlah ini merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.

“Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.

“Proses pendaftaran DPP golongan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun 2026,” ujar kementerian itu.

KDN akan terus mengenal pasti individu yang layak dan bersetuju untuk pulang secara sukarela.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri pula akan menyelaras pelaksanaan penghantaran pulang bersama kerajaan Myanmar atau kerajaan negara yang terlibat secara berperingkat.

“Lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal daripada Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.

“Justeru, penyelesaian ini tidak boleh dilakukan secara unilateral. Kerajaan Madani sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara,” jelasnya.

Menerusi kenyataan itu, KDN juga menjelaskan strategi kerajaan dalam proses penghantaran pulang ribuan pelarian warga Myanmar itu.

Dua cabang strategi

Strategi pertama adalah dengan melaksanakan rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat Myanmar dapat dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.

Kedua, pendaftaran dan pendataan individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka dilakukan melalui program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat yang menyeluruh dan tepat mengenai keberadaan golongan tersebut.

“Data ini seterusnya dapat digunakan bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan serta perancangan pengurusan dan penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan.

“Kedua-dua cabang strategi ini perlu dilaksanakan secara serentak dan saling melengkapi. Usaha penghantaran pulang memerlukan data yang tepat dan terkini mengenai individu yang terlibat.

“Manakala pelaksanaan pendaftaran melalui DPP pula perlu disokong oleh hala tuju penyelesaian yang jelas bagi memastikan mekanisme tersebut tidak sekadar menjadi suatu bentuk pendaftaran, tetapi merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan Madani yang lebih menyeluruh terhadap pengurusan pelarian dan pemohon suaka,” katanya.

Program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.

Pendaftaran tersebut akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas kepada pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara.

“Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran DPP akan diberikan Kad DPP sebagai dokumen pendaftaran yang membolehkan mereka tinggal secara sementara tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ujar KDN lagi, selama berpuluh tahun, isu kehadiran pelarian sama ada mereka yang berdaftar dengan UNHCR mahupun yang tidak berdaftar telah dibiarkan berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas oleh pentadbiran terdahulu.

Ia telah menjadi beban kewangan yang besar, mencetuskan masalah sosial yang serius dan mewujudkan ancaman keselamatan nyata kepada negara.

“Dengan itu, kerajaan Madani kini mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menoktahkan masalah legasi ini secara terus dan terbuka.

“Kerajaan perlu mempunyai maklumat yang tepat mengenai individu dalam sempadan negara bagi menguruskan keberadaan mereka secara berkesan.

“Umum mengetahui bahawa Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Pelaksanaan program DPP tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan atau penyertaan Malaysia kepada instrumen antarabangsa tersebut.

“Sebaliknya, pelaksanaan DPP mencerminkan pendekatan Ihsan kerajaan Madani dalam menangani isu pelarian dan pemohon suaka secara teratur, berperikemanusiaan serta selaras dengan undang-undang, kepentingan nasional dan kedaulatan negara,” katanya.

Program DPP merupakan mekanisme serampang pelbagai mata untuk menyelamatkan negara daripada krisis demografi gelap.

“Pelaksanaannya dapat memperkukuh aspek keselamatan melalui pemilikan data biometrik yang tepat dan sahih, mengurangkan ruang kepada kewujudan ekonomi bayangan serta memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat tempatan terus terpelihara dan diutamakan.

“Pendekatan Kerajaan Madani jelas dalam mengurus isu ini melalui nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Madani, namun ia mesti dilakukan secara terbuka, telus dan mengikut lunas undang-undang.

“Tiada lagi ruang untuk ketidaktentuan. Setiap tindakan mesti sah di sisi undang-undang dan boleh dipertanggungjawabkan oleh rakyat,” katanya lagi.

Kerajaan menegaskan bahawa isu ini perlu ditangani secara menyeluruh, berhemah dan berperikemanusiaan dan pada masa yang sama tegas, telus dan berlandaskan undang-undang demi keselamatan dan kedaulatan negara serta kepentingan rakyat Malaysia.

Intipati
  • Fasa pertama penghantaran pulang sukarela melibatkan 1,476 warga Myanmar pada 29 September depan.
  • KDN memaklumkan program itu akan dilaksanakan secara berperingkat, selamat dan bertanggungjawab.
  • Pelaksanaan program mengikut prosedur yang dipersetujui bersama antara kerajaan Malaysia dan Myanmar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan