Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

FBI Gagalkan Rancangan Serangan Di Rumah Putih
Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) berjaya menggagalkan satu rancangan serangan yang menyasarkan acara Ultimate Fighting Championship (UFC) yang berlangsung di Rumah Putih pada Ahad lalu, menurut Pengarah FBI, Kash Patel.
Beliau berkata beberapa suspek telah ditahan dalam operasi yang melibatkan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Menurut dokumen mahkamah yang didedahkan pada Selasa, kumpulan terbabit didakwa merancang untuk menyerang bangunan berhampiran menggunakan dron yang dipenuhi bahan letupan.
Salah seorang suspek ditahan minggu lalu selepas pihak penyiasat memperoleh akses kepada mesej-mesej sulit yang melibatkan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam komplot tersebut.
Dia kini berdepan pertuduhan konspirasi untuk melakukan kesalahan terhadap Amerika Syarikat serta cubaan membunuh pegawai persekutuan.
Dalam hantaran di media sosial, suspek menyifatkan operasi itu sebagai kejayaan besar dan berkata rancangan serangan tersebut berjaya dihentikan sebelum sempat dilaksanakan.
Laporan media Amerika menyebut bahawa lima individu kini berada dalam tahanan, manakala FBI masih meneruskan siasatan.
Dalam temu bual bersama FBI pada 11 Jun, suspek mengaku terlibat dalam perancangan serangan berkenaan.
Beliau memberitahu bahawa ahli kumpulan mula berkomunikasi sekitar Mac 2026 melalui kumpulan TikTok.
Sebahagian perbincangan kemudian dipindahkan ke aplikasi pesanan sulit Signal, di mana rancangan serangan terhadap acara di Rumah Putih didakwa disusun dengan lebih terperinci.
Dokumen mahkamah mendakwa kumpulan itu merancang menggunakan dron untuk menyerang kawasan berhampiran lokasi acara bagi mencetuskan keadaan panik.
Mereka dipercayai mahu memaksa orang ramai melarikan diri ke arah lokasi tertentu yang telah ditetapkan untuk pasukan penembak tepat (sniper).
Selepas itu, satu "gelombang kedua" penyerang didakwa akan cuba menyerbu pintu masuk Rumah Putih.
Siasatan mendapati komplot itu terbongkar selepas ibu kepada suspek menghubungi pihak berkuasa pada 10 Jun lalu kerana bimbang dengan pembelian senjata api yang banyak oleh anaknya serta aktiviti komunikasi dalam talian yang mencurigakan.
Menurut pendakwa raya, kumpulan tersebut mahu mencetuskan revolusi dengan menyerang individu yang dianggap sebagai "sasaran bernilai tinggi", termasuk ahli politik dan golongan kaya yang menghadiri acara UFC itu.
Antara isu yang sering dibincangkan oleh mereka ialah dakwaan rasuah kerajaan, pengendalian fail Epstein, penggunaan air oleh pusat data serta pelbagai tindakan kerajaan yang tidak dipersetujui oleh kumpulan tersebut.
Timbalan Pengarah United States Secret Service, Matt Quinn, menyifatkan insiden itu sebagai ancaman yang serius.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan dan memaklumkan bahawa masih terdapat beberapa suspek yang belum dikenal pasti.
Pengarah Secret Service, Sean Curran, turut mengesahkan agensinya bekerjasama rapat dengan FBI sepanjang siasatan tersebut.
Ketika ditanya mengenai komplot itu semasa menghadiri sidang kemuncak G7, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau belum mendengar mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden JD Vance berkata beliau percaya FBI mendedahkan maklumat itu kepada umum kerana skala serangan yang dirancang dianggap sangat besar.
Untuk info, acara UFC berkenaan diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan Amerika Syarikat dan turut bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Trump yang ke-80.
Acara UFC berkenaan dihadiri kira-kira 4,300 tetamu jemputan di kawasan South Lawn Rumah Putih, manakala sekitar 85,000 lagi orang menyaksikannya di zon peminat berhampiran.