Bayangkan imej hantu yang sering muncul dalam cerita seram.
Berbadan putih, terapung di udara dan kadangkala diselubungi kain putih yang menyerupai kain kapan.
Gambaran itu begitu dekat dengan imaginasi kita sehingga setiap kali perkataan hantu disebut, itulah antara imej pertama yang terlintas di fikiran.
Malah, gambaran hantu berwarna putih turut menjadi sebahagian daripada budaya popular menerusi filem, kartun dan kostum Halloween.
Namun, pernahkah kita terfikir mengapa hantu sering digambarkan sedemikian?
Hakikatnya, imej hantu berwarna putih tidak muncul secara tiba tiba.
Gambaran itu terbentuk melalui perubahan kepercayaan masyarakat, karya seni, pementasan teater, perkembangan teknologi dan hiburan selama berabad abad.
Menurut Susan Owens, penulis buku The Ghost: A Cultural History dan bekas kurator lukisan di Muzium Victoria dan Albert di London, gambaran hantu pada zaman dahulu tidak terhad kepada sosok putih yang lut sinar seperti yang sering dilihat hari ini.
Sebaliknya, hantu pernah digambarkan dalam pelbagai bentuk, termasuk manusia biasa, rangka, mayat yang mereput dan sosok menyeramkan yang kelihatan seolah olah baru bangkit dari kubur.
Bermula Dengan Gambaran Kematian

Pada zaman pertengahan di Britain, hantu sering digambarkan sebagai makhluk yang mempunyai bentuk fizikal.
Ada yang menyerupai rangka berjalan, manakala sebahagian lagi digambarkan sebagai mayat mereput dengan cebisan kain kafan berwarna kelabu yang masih melekat pada tubuh.
Gambaran sedemikian bukan sekadar bertujuan menakutkan.
Menurut Owens, imej itu turut membawa mesej moral kepada masyarakat tentang singkatnya kehidupan dan hakikat bahawa kematian merupakan sesuatu yang pasti.
Kain kafan menjadi antara elemen penting dalam pembentukan imej hantu kerana pakaian tersebut mempunyai kaitan langsung dengan kematian dan pengebumian.
Dalam kepercayaan masyarakat ketika itu, kemunculan roh dari alam kematian sering dikaitkan dengan usaha menyampaikan pesanan kepada manusia yang masih hidup.
Hubungan antara roh dan pakaian pengebumian itu kemudiannya menjadi sebahagian daripada gambaran hantu yang terus berkembang dari semasa ke semasa.
Dari Pentas Teater Ke Dunia Seni
Menjelang abad ke-16, hantu mula mendapat tempat dalam pementasan teater.
Pelakon yang membawa watak makhluk ghaib lazimnya mengenakan kain kafan yang kelihatan lusuh ketika muncul di hadapan penonton.
Namun, gambaran tersebut tidak semestinya meyakinkan.
Malah, menurut Owens, terdapat catatan bahawa penampilan hantu di pentas ketika itu pernah menjadi bahan ketawa penonton.
Dalam karya William Shakespeare, misalnya, roh bapa Hamlet muncul dengan memakai baju zirah dan bukannya kain putih.
Hal ini menunjukkan bahawa belum wujud satu gambaran khusus yang mesti dipatuhi untuk mewakili hantu.
Perubahan ketara mula berlaku menjelang penghujung abad ke-18 apabila pelukis seperti George Romney dan John Flaxman menghasilkan karya yang menggambarkan sosok berbalut kain yang mengalir, diinspirasikan daripada pakaian zaman Yunani purba.
Penggunaan kain yang menutupi tubuh menghasilkan siluet misteri, sekali gus menjadikan gambaran roh kelihatan berbeza daripada manusia biasa.
Pada masa yang sama, perubahan dalam amalan pengebumian yang menyaksikan penggunaan pakaian linen putih turut membantu mengukuhkan kaitan antara warna putih dengan imej orang yang telah meninggal dunia.
Bagaimana Hantu Menjadi Lut Sinar?
Jika kain putih membantu membentuk rupa hantu, bagaimana pula dengan gambaran makhluk yang boleh ditembusi pandangan atau kelihatan terapung di udara?
Perubahan itu turut dipengaruhi oleh fenomena hiburan yang dikenali sebagai phantasmagoria, iaitu persembahan menggunakan unjuran imej melalui tanglung ajaib bagi menghasilkan ilusi sosok menyeramkan yang seolah olah muncul, bergerak dan menghilang.
Menurut Owens, gambaran hantu yang lut sinar mula mendapat tempat di Britain pada penghujung abad ke-18. Sebelum itu, hantu lazimnya digambarkan sebagai sosok yang mempunyai bentuk fizikal walaupun dipercayai mampu melakukan perkara luar biasa.
Menjelang abad ke-19, gambaran hantu berpakaian putih semakin dikenali. Antara kisah yang sering dikaitkan dengan imej tersebut ialah kejadian Hammersmith Ghost di London pada 1803 hingga 1804.
Ketika itu, penduduk melaporkan penampakan sosok tinggi berpakaian putih sehingga mencetuskan ketakutan. Pada 3 Januari 1804, seorang lelaki bernama Francis Smith tersilap menyangka Thomas Millwood, seorang tukang batu yang memakai pakaian kerja putih, sebagai hantu lalu menembaknya hingga mati.
Kejadian itu menjadi peringatan bahawa ketakutan terhadap sesuatu yang tidak dapat dijelaskan boleh membawa akibat yang serius.
Teknologi Menjadikan Hantu Lebih Meyakinkan
Perkembangan fotografi dan teknologi persembahan pada zaman Victoria turut mengubah cara masyarakat membayangkan makhluk ghaib.
Fotografi roh mula mendapat perhatian apabila terdapat dakwaan bahawa kamera mampu merakam imej samar yang menyerupai figura hantu bersama manusia hidup.
Selain itu, ilusi pentas Pepper’s Ghost yang dipopularkan oleh John Henry Pepper pada abad ke-19 menggunakan kaca, pencahayaan dan kedudukan pelakon tersembunyi untuk menghasilkan gambaran figura lut sinar.
Teknik itu membolehkan sosok seolah olah muncul, menghilang dan berdiri di sisi pelakon lain, sekali gus memberikan pengalaman visual yang lebih meyakinkan kepada penonton.
Dalam dunia sastera pula, karya seperti A Christmas Carol oleh Charles Dickens yang diterbitkan pada 1843 menggambarkan Jacob Marley sebagai roh yang begitu telus sehingga Scrooge dapat melihat menembusi tubuhnya.
Gabungan seni, teknologi dan sastera ini membantu membentuk imaginasi masyarakat terhadap hantu sebagai makhluk yang kelihatan seperti manusia tetapi tidak lagi terikat dengan hukum dunia fizikal.
Kartun Mengukuhkan Imej Hantu Putih
Memasuki abad ke-20, filem dan kartun memainkan peranan besar dalam menjadikan hantu putih sebagai gambaran yang mudah dikenali.
Antara karya yang disebut oleh Troy Taylor, pengacara bersama American Hauntings Podcast, ialah kartun Disney Lonesome Ghosts yang diterbitkan pada 1937. Kartun itu menampilkan empat hantu terapung yang memanggil Mickey Mouse, Donald Duck dan Goofy ke rumah mereka yang kononnya berhantu.
Kemudian, watak Casper the Friendly Ghost muncul pada 1945 dengan tubuh putih membulat dan bentuk yang seolah olah terapung.
Imej tersebut terus diperkukuh melalui budaya popular, termasuk kostum hantu yang diperbuat daripada kain putih seperti yang dilihat dalam animasi It's the Great Pumpkin, Charlie Brown pada 1966.
Menurut Taylor, filem dan kartun bukan pencetus asal idea hantu berkain putih, tetapi kedua duanya membantu mengukuhkan gambaran itu dalam budaya popular.
Tidak hairanlah imej hantu putih masih begitu sinonim dengan cerita seram sehingga hari ini.
Benarkah Hantu Sebenarnya Berwarna Putih?
Walaupun imej hantu putih begitu popular, tiada satu warna khusus yang boleh dianggap sebagai warna sebenar hantu.
Taylor menjelaskan bahawa laporan penampakan yang dikumpulkan sepanjang sejarah menunjukkan figura yang didakwa sebagai hantu sering digambarkan menyerupai manusia biasa, lengkap dengan pakaian, rambut muka dan aksesori.
Ada yang dilaporkan kelihatan kelabu, putih, berwarna sepia atau hampir tidak mempunyai warna, khususnya dalam keadaan pencahayaan yang malap.
Sebahagian laporan lain pula menggambarkan bayangan gelap menyerupai manusia atau figura yang seolah olah bercahaya.
Namun, semua gambaran tersebut bersandarkan laporan dan pengalaman individu.
Setakat ini, tiada bukti saintifik yang mengesahkan kewujudan hantu atau menetapkan warna sebenar makhluk berkenaan.
Justeru, imej hantu putih yang begitu dekat dengan imaginasi masyarakat hari ini lebih tepat difahami sebagai hasil perjalanan sejarah, kepercayaan, seni dan hiburan.
Daripada kain kafan pada zaman pertengahan hinggalah kepada kartun dan filem moden, gambaran hantu terus berubah mengikut zaman.
Mungkin itulah yang menjadikan imej hantu putih begitu menarik.
Bukan semata mata kerana rupanya yang menyeramkan, tetapi kerana di sebalik gambaran ringkas itu tersimpan sejarah panjang tentang cara manusia memahami kematian, alam ghaib dan perkara yang masih belum dapat dijelaskan.

