Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Fenomena “Blood Moon” Dijangka Berlaku Malam Ini – MYSA
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan bahawa satu fenomena Gerhana Bulan Penuh “Blood Moon” dijangka berlaku pada malam ini.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Malaysia – MYSA di Facebook, fenomena itu bakal berlangsung bermula sekitar jam pukul 11 malam ini sehingga 5 pagi esok.
Difahamkan, fenomena gerhana bulan penuh itu akan berlaku 2.7 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang dekat dengan bumi (perigee) iaitu pada jarak 364,773 kilometer dengan saiz sebanyak 33.4 arc minit.
Agensi Angkasa Malaysia turut memaklumkan gerhana itu dikenali sebagai “Blood Moon” kerana bulan akan kelihatan berwarna kemerahan semasa fasa gerhana penuh berlaku.
Selain itu, fenomena ini dapat disaksikan oleh masyarakat di seluruh kawasan Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealeand.
“Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada pada kedudukan di antara matahari dan bulan menyebabkan bayang-bayang bumi menutupi bulan,” ujar MYSA.
Tambah agensi itu lagi, bulan akan kelihatan berwarna merah atau jingga ketika kemuncak gerhana bulan penuh disebabkan pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi.
Di Malaysia, bulan berada di atas ufuk sepanjang gerhana berlaku. Oleh itu, jika cuaca baik, keseluruhan fasa gerhana dapat dilihat sama ada dengan mata kasar atau menggunakan bantuan seperti binokular dan teleskop.
Katanya, keseluruhan gerhana kali ini (tidak termasuk fasa gerhana penumbra) akan mengambil masa selama tiga jam 30 minit dan fasa Gerhana Bulan Penuh akan terjadi selama satu jam 22 minit.
Agensi Angkasa Malaysia memaklumkan orang ramai boleh hadir ke lokasi cerapan gerhana bulan penuh yang ditetapkan bagi menyaksikan fenomena berkenaan.
Antara kawasan terlibat ialah di Planetarium Negara, Balai Cerap Permata Pintar, Masjid Alam Impian, Shah Alam dan Balai Cerap Selangor.
Selain itu, Balai Cerap Negeri Sembilan, Masjid Al-Azim di Melaka, Kurau Inn Farmstay di Kuala Kurau Perak dan di Dataran Masjid Putra, Putrajaya.
https://www.facebook.com/share/p/1FF1GEd4Fh/