Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Festival Mega iLINDUNGu Tawar 2,000 Peluang Pekerjaan, RM1.5 Juta Sumbangan Lindungi 500 Pekerja Gig

iLINDUNGu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM12,000 serta lebih RM1.5 juta sumbangan daripada penyedia platform bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial pekerja gig menjadi antara manfaat utama Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall, Kota Damansara.

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, menerusi MYFutureJobs, sebanyak 25 majikan menyertai festival berkenaan dengan menawarkan kira-kira 2,000 kekosongan pekerjaan, melibatkan tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM12,000.

“Fokus kita jelas. Rakyat yang datang bukan sekadar mendapatkan maklumat, tetapi kita mahu mereka pulang dengan peluang pekerjaan, akses kepada perlindungan sosial dan penyelesaian yang boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan atau mahu meningkatkan kerjaya, rebut peluang ini. Kita membawa majikan dan peluang pekerjaan terus kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan.

Selain itu, sebanyak RM48,000 disalurkan oleh Menteri Sumber Manusia menerusi LINDUNG Kasih Suri Rumah, sekali gus memperluas manfaat perlindungan kepada 400 penerima suri rumah.

Manakala, Foodpanda menyumbang RM1 juta, Grab RM500,000 dan Halo RM14,412.40, menjadikan keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,514,412.40, yang akan memberi manfaat kepada 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

“Di sebalik setiap rider dan pemandu ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka. Sebab itu perlindungan sosial bukan perkara diambil ringan. Ia adalah jaringan keselamatan yang amat penting apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

“Kerjasama seperti ini menunjukkan bahawa kerajaan dan industri boleh bergerak bersama untuk memastikan pekerja gig bukan sahaja mempunyai peluang mencari pendapatan, tetapi turut mempunyai perlindungan,” katanya.

Festival Mega iLINDUNGu turut menyediakan kaunter khas Opt-In LINDUNG 24 Jam, membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan berkenaan mendaftar semula secara terus sepanjang festival dari 18 hingga 20 September.

Majikan pula berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB), manakala pengunjung boleh membuat semakan caruman, mendapatkan khidmat nasihat berkaitan faedah serta mendaftar skim PERKESO.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Festival tersebut turut memperkukuh aspirasi KESUMA Bersama Rakyat dengan menghimpunkan 11 agensi dan jabatan lain di bawah KESUMA, termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Pendekatan bersepadu sebegini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses secara langsung kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.

“KESUMA Bersama Rakyat membawa satu mesej yang jelas; kita tidak mahu rakyat tercari-cari perkhidmatan kerajaan. Sebaliknya, kitalah yang perlu turun padang, mendekati mereka, mendengar suara mereka dan membawa penyelesaian terus ke tengah-tengah masyarakat,” katanya

Intipati
  • Festival Mega iLINDUNGu menawarkan kira-kira 2,000 pekerjaan dengan gaji hingga RM12,000.
  • Foodpanda, Grab dan Halo menyumbang RM1,514,412.40 untuk melindungi 500 pekerja gig.
  • Program itu turut menyediakan pendaftaran PERKESO, semakan caruman dan diskaun FCLB majikan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan