Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

FIFA Jual Potongan Rumput Padang Final Piala Dunia 2026
Peminat bola sepak kini berpeluang memiliki sebahagian daripada sejarah Piala Dunia FIFA 2026 apabila FIFA menawarkan jualan potongan rumput sebenar dari padang perlawanan akhir kejohanan itu.
Koleksi eksklusif yang dinamakan 'Piece of the Pitch' itu membolehkan peminat memiliki cebisan rumput sebenar yang akan digunakan dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium MetLife, Amerika Syarikat.
Sepanjang kejohanan itu berlangsung, stadium berkenaan akan dikenali sebagai New York New Jersey Stadium mengikut penjenamaan rasmi FIFA.
Langkah itu dilihat sebagai satu lagi usaha FIFA menawarkan barangan koleksi premium kepada peminat di seluruh dunia, selain menjana pendapatan selepas kejohanan berakhir.
Menariknya, Stadium MetLife yang menjadi gelanggang kepada pasukan NFL, New York Giants dan New York Jets, lazimnya menggunakan rumput tiruan.
Bagaimanapun, bagi memenuhi piawaian Piala Dunia FIFA, permukaan padang itu akan digantikan sementara dengan rumput semula jadi yang ditanam khas di sebuah ladang di North Carolina.
Selepas wisel penamat ditiup pada aksi final yang dijadual berlangsung pada 19 Julai 2026, rumput tersebut akan dipotong dan dijadikan barangan koleksi rasmi.
Koleksi 'Piece of the Pitch' dihasilkan oleh syarikat berpangkalan di United Kingdom, Keep Stub, dan ditawarkan dalam empat edisi dengan hanya 2,026 unit bagi setiap kategori.
Setiap pembeli akan menerima cebisan rumput asal yang disimpan dalam bekas akrilik premium yang tertera logo Piala Dunia 2026, lokasi perlawanan, tarikh serta keputusan akhir perlawanan.
Turut disertakan ialah pemacu USB yang mengandungi video pengesahan ketulenan koleksi tersebut.
Bagi tiga edisi pertama, saiz bekas ialah kira-kira 2.5 inci, manakala edisi tertinggi menggunakan bekas bersaiz 3 inci serta didatangkan dengan pelbagai cenderamata tambahan.
Berikut ialah harga yang ditawarkan:
Foundation Edition – USD450 (sekitar RM1,835.10); Didatangkan dalam kotak premium eksklusif.

Stadium Edition – USD900 (sekitar RM3,670.20); Turut merangkumi tiket cenderamata logam bersalut emas serta sijil ketulenan yang ditandatangani.

Legacy Edition – USD1,200 (sekitar RM4,893.60); Pembeli turut menerima replika kecil bola rasmi yang akan digunakan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, selain dibungkus dalam kotak yang lebih eksklusif.

Hero Edition – USD3,000 (sekitar RM12,234.00); Edisi paling mahal ini didatangkan dengan replika Trofi Piala Dunia yang diperbuat daripada kaca kristal serta kotak simpanan premium berwarna hitam dengan kemasan mewah.

FIFA memaklumkan semua koleksi hanya akan dihantar selepas perlawanan akhir selesai bagi memastikan setiap cebisan rumput benar-benar diambil daripada padang yang digunakan dalam aksi penentuan juara dunia itu.
Buat masa ini, koleksi tersebut hanya ditawarkan kepada pembeli di Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa negara di Eropah.