FIFA Sahkan Jadi Mangsa Serangan Siber, Pencuri Dakwa Curi 12GB Data
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan telah menjadi mangsa serangan siber yang menyebabkan sejumlah maklumat peribadi dan dokumen berkaitan urusan perniagaan dicuri.
Serangan itu dipercayai bukan berpunca daripada masalah sistem atau teknologi FIFA, sebaliknya penjenayah menyamar sebagai kakitangan untuk memperdaya mereka sebelum mendapatkan akses kepada dokumen.
Dalam satu kenyataan, FIFA berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang.
“FIFA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mendapatkan dan menyebarkan maklumat secara tidak sah, khususnya data peribadi.
“Perbuatan seperti ini merupakan pencerobohan privasi yang serius dan tidak boleh diterima, malah boleh memberi kesan besar kepada individu yang terlibat.”
Sementara itu, kumpulan penggodam Handsome Boy Hacking Club mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu selepas memuat naik beberapa tangkap layar fail FIFA di internet minggu lalu.
Kumpulan tersebut mendakwa berjaya mendapatkan akses kepada 12GB data, namun jumlah itu kurang daripada 0.1 peratus keseluruhan data yang disimpan FIFA.
Hasil analisis juga menunjukkan kumpulan itu lebih menyasarkan FIFA sebagai sebuah organisasi berbanding individu tertentu.
Bagaimanapun, difahamkan dokumen berkaitan cadangan Fifa Forward Enterprise yang pernah mencetuskan kontroversi tidak terlibat dalam kebocoran data itu.
FIFA Sahkan Jadi Mangsa Serangan Siber

Cadangan tersebut melibatkan rancangan Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk menjual hak komersial Piala Dunia, namun usaha berkenaan tidak menjadi kenyataan.
Pengerusi Persatuan Bola Sepak England (FA), Debbie Hewitt, turut diberikan akses kepada fail berkenaan minggu ini dengan syarat beliau menandatangani perjanjian kerahsiaan.

