Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gagal Hadir Prosiding Kes Culik Warga Palestin, Seorang Tertuduh Dikenakan Waran Tangkap

Gagal hadir prosiding
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang daripada lapan individu yang didakwa menahan seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan rahsia maklumat berkaitan perisian menggodam telefon bimbit.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin mengeluarkan perintah itu selepas tertuduh, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31, gagal hadir pada prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini.

Terdahulu, ketika disoal Hakim Mohd Arief Emran mengenai ketiadaan tertuduh, penjamin kepada Muhammad Iqmal memaklumkan usaha menjejaki lelaki itu di kediamannya di kawasan ladang kelapa sawit telah dibuat namun gagal, di samping satu laporan polis telah dibuat.

Timbalan Pendakwa Raya Zailin Nadia Zubir pula memaklumkan pihak polis turut gagal mengesan tertuduh sejak 11 Sept lepas.

“Pihak polis telah ke Tanjung Sepat, Kuala Langat dan menemubual bapa penama (Muhammad Iqmal), tetapi bapanya memaklumkan Muhammad Iqmal tidak balik ke kampung sejak Januari lalu dan pihak berkuasa masih berusaha untuk mengesan tertuduh,” katanya.

Susulan itu, hakim Mohd Arief Emran membatalkan jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh yang diputuskan sebelum ini.

Selain Muhammad Iqmal, tujuh lagi individu yang terlibat ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45, Mohamad Naziree Mustapha, 45, Faizull Hardey Mohd Isa, 47, Mohd Zaidi Mohd Zain, 60, Nidarahayu Zainal, 40, Raibafie Amdan, 45, dan Edy Ko'im Said, 46.

Perbicaraan kes yang bermula pada 7 Julai tahun lepas itu telah mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan dan ditetapkan bersambung pada 12 Okt ini.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa berusia 31 tahun di lokasi dan waktu sama bagi mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan jumlah lebih RM250,000.

Pada 10 Julai tahun lepas, enam lelaki iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 46, Mohd Azwan Jamaludin, 42, Dody Junaidi, 47, Mohamad Sufian Saly, 28, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54 dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, dipenjara lima tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana melarikan dan mengurung mangsa yang sama.

Sumber:BERNAMA