Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) sebanyak RM637,500 Setel susulan kegagalan dalam mematuhi beberapa keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar.
Menurut BNM dalam satu kenyataan, penalti itu telah dikenakan pada 15 April 2026 selepas mendapati Setel sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI) gagal mengemas kini beberapa proses yang diwajibkan untuk menyaring pangkalan data pelanggannya berdasarkan Senarai Domestik.
BNM Kenakan Penalti Terhadap Setel
“Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), Setel dikehendaki mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan dan melakukan saringan sekatan ke atas seluruh pangkalan data pelanggan mengikut Senarai Domestik.
“Setel juga dikehendaki mengenal pasti sama ada padanan yang berpotensi merupakan padanan tepat. Proses ini sangat penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan.
“Beberapa ketidakpatuhan ini telah dikesan berikutan laporan Setel mengenai beberapa entiti yang ditentukan.
“Berdasarkan penilaian lanjut, BNM mendapati bahawa Setel telah gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan. Setel juga gagal untuk melakukan saringan sekatan ke atas senarai pelanggan dalam pangkalan data dan seterusnya gagal untuk menentukan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan tepat,” katanya BNM.
Tambah BNM, kegagalan Setel dalam isu ketidakpatuhan ini adalah berpunca daripada kelemahan dalam prosedur operasi standard (standard operating procedure, SOP) dan sistem saringan sekatan.
“Setel telah menjalankan langkah-langkah pemulihan dengan mengemas kini dan membaiki kelemahan dalam SOP serta menambah baik sistem dalaman bagi memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS.
“Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan.
“Antaranya kekurangan usaha yang wajar oleh Setel dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS; rekod pematuhan Setel pada masa lalu; dan penilaian terhadap tingkah laku Setel selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang,” katanya.
Penalti sebanyak RM637,500 yang dikenakan oleh BNM itu kemudiannya telah dibayar oleh Setel pada 6 Mei lalu.
Dalam masa sama, BNM menegaskan semua institusi pelapor perlu mengekalkan tahap komitmen yang tinggi terhadap pematuhan keperluan sekatan kewangan bersasar. Sekiranya keperluan undang-undang atau pengawalseliaan tidak dipenuhi, BNM berkata tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan yang sewajarnya boleh diambil.

