Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Masih ramai yang keliru dalam penggunaan perkataan galakan dan galakkan, walaupun perbezaannya hanya melibatkan satu huruf.
Menurut Editor Kanan dalam Kamus Dewan Perdana, Sanisah Hashim, perubahan satu fonem atau huruf dalam sesuatu perkataan boleh mengubah makna serta golongan kata yang digunakan.
Katanya dalam perkongsian di Facebook pada Rabu lalu, penggunaan satu atau dua huruf “k” bergantung kepada sama ada perkataan itu berfungsi sebagai kata nama atau kata kerja.
Jelas beliau, galakan dengan satu huruf “k” terbentuk daripada kata dasar galak yang menerima akhiran -an.
Dalam konteks ini, ia berfungsi sebagai kata nama yang membawa maksud dorongan, insentif atau sokongan.
Formula yang digunakan ialah:
Galak + an = galakan
Menurut Sanisah, cara mudah mengenal pasti penggunaannya ialah apabila perkataan itu boleh didahului dengan perkataan seperti memberikan, mendapat atau satu bentuk.
Sebagai contoh:
Pihak kerajaan memberikan galakan kepada usahawan muda.
Pelajar memerlukan galakan daripada ibu bapa untuk berjaya.
Sebaliknya, galakkan dengan dua huruf “k” terbentuk apabila kata dasar galak menerima akhiran -kan.
Katanya, bentuk ini berfungsi sebagai kata kerja yang membawa maksud melakukan perbuatan mendorong atau memberi semangat.
Formula bagi bentuk ini ialah:
Galak + kan = galakkan
Ia biasanya digunakan dalam ayat berbentuk arahan atau ayat pasif.
Antara contohnya:
Galakkan anak-anak membaca sejak kecil.
Aktiviti bersukan perlu kita galakkan dalam kalangan remaja.
Sanisah menjelaskan, kekeliruan seperti ini sering berlaku apabila kata dasar berakhir dengan huruf “k”, antaranya seperti masukan/masukkan, gerakan/gerakkan dan kacukan/kacukkan.
Namun katanya, bagi kata dasar yang berakhir dengan huruf lain seperti larian/larikan atau siraman/siramkan, kekeliruan itu jarang berlaku.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan fungsi sesuatu perkataan sebelum menggunakannya dalam penulisan atau percakapan.