Seorang pekerja kedai telah dibunuh di Jerman gara-gara enggan menjual minuman keras kepada pelanggan yang tidak mahu memakai pelitup muka.
Petugas stesen minyak yang berusia 20 tahun itu telah ditembak mati oleh seorang lelaki berusia 49 tahun yang pulang ke rumah untuk mengambil pistolnya selepas bertengkar dengan pekerja tersebut pada Sabtu, kata polis.
Suspek dilaporkan memasuki kedai tersebut pada sekitar jam 7.45 malam untuk cuba membeli minuman keras tanpa memakai pelitup muka.

Pekerja tersebut telah memintanya untuk mematuhi peraturan stesen minyak itu dan tidak akan melayannya jikalau dia enggan memakai pelitup muka.
Lelaki berkenaan mula bertengkar dengan pekerja tersebut sebelum meninggalkan kedai itu dengan tangan kosong.
Sekitar satu jam kemudian, dia kembali semula di tempat kejadian dengan memakai pelitup muka sambil membawa sepucuk pistol jenis revolver secara sembunyi.
Dia kemudiannya menghampiri kaunter, membuka pelitup mukanya dan terus menembak pekerja tersebut.
Pegawai pendakwa raya Kai Fuhrmann berkata, mangsa maut akibat tembakan di kepala dan suspek terus melarikan diri dengan berjalan kaki dari tempat kejadian.
Ekoran daripada itu, polis telah mengerahkan anggota untuk memburu lelaki tersebut. Namun, lelaki berkenaan hanya berjaya ditahan selepas dia menyerahkan diri keesokan harinya.
Lelaki yang berusia 49 tahun itu memberitahu polis bahawa dia telah “bertindak sebegitu kerana marah”.
“Dia turut menyatakan bahawa dia menolak untuk mengamalkan langkah pencegahan melawan virus COVID-19 itu,” kata polis dalam satu kenyataan.
Mereka menambah bahawa wabak itu telah membuatkannya tertekan dan dia “tidak dapat memikirkan jalan lain” selain membuatkan pekerja kedai itu sebagai contoh.
Fuhrmann menyatakan bahawa lelaki bersenjata itu menjadikan mangsa ‘bertanggungjawab ke atas situasi tersebut secara keseluruhan, kerana dia terlampau mengikut peraturan”, lapor DW.
Semasa pemeriksaan di apartmen milik suspek, polis menemui senjata pembunuhan tersebut bersama dengan senjata api dan peluru lain.
Pembunuhan yang berlaku di bandar barat Idar-Oberstein dipercayai adalah yang pertama di Jerman yang berkaitan dengan peraturan pencegahan COVID-19 dikuat kuasakan oleh kerajaan.
Peraturan untuk memakai pelitup muka adalah salah satu SOP yang dikuatkuasakan di Jerman bagi membendung penularan virus COVID-19.
Datuk Bandar Idar-Oberstein, Frank Fruehauf mengutuk keras serangan tersebut manakala penduduk setempat meletakkan bunga dan lilin di luar stesen minyak.
Penunjuk perasaan anti-pelitup muka sering kali mengadakan protes di Jerman, ada diantaranya yang disertai sehingga puluhan ribu orang.