Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa 7.1 Magnitud Landa Jepun, Lebih 50 Penduduk Cedera

JEPUN
Kredit: AFP

Gempa 7.1 Magnitud Landa Jepun, Lebih 50 Penduduk Cedera

Sekurang-kurangnya 150,000 penduduk diarahkan berpindah selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud menggegarkan Wilayah Kumamoto di selatan Jepun pada Selasa, lapor Japan Today.

Menurut laporan itu, bencana berkenaan turut menyebabkan lebih 50 individu cedera, bekalan elektrik terputus di puluhan ribu kediaman selain mengakibatkan kerosakan pada jalan raya, jambatan serta beberapa bangunan.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, berkata pihak berkuasa masih menilai tahap sebenar kerosakan dan jumlah mangsa yang terlibat.

"Kami telah menerima laporan bahawa terdapat mangsa yang cedera.

"Gangguan bekalan elektrik dan kebakaran berlaku di beberapa kawasan, selain kerosakan pada jalan raya, jambatan serta runtuhan bangunan," katanya kepada pemberita di Tokyo.

Menurut penyiar awam NHK, sebuah hospital melaporkan menerima lebih 50 mangsa cedera, manakala akhbar Nikkei melaporkan beberapa penumpang kereta api berkelajuan tinggi turut mengalami kecederaan ketika gegaran berlaku.

Laporan turut menyebut beberapa bangunan mengalami kerosakan termasuk sebuah pusat beli-belah Aeon yang dipercayai mengalami letupan.

Rakaman yang disiarkan NHK turut memaparkan beberapa bangunan terbakar dan sebahagiannya runtuh akibat gegaran kuat tersebut.

Dalam pada itu, rekahan besar dilaporkan muncul di beberapa jalan utama termasuk lebuh raya bertingkat, selain sebuah kereta api kargo tergelincir daripada landasan.

Perkhidmatan kereta api dihentikan sementara, manakala operasi penerbangan di Lapangan Terbang Kumamoto turut digantung dengan beberapa penerbangan dibatalkan atau dilencongkan.

Syarikat pengeluar cip terbesar dunia, TSMC, memindahkan pekerjanya dari kilang di kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Nikkei, syarikat Sony dan Fujifilm turut mengarahkan kakitangan mereka berpindah dari premis masing-masing.

Agensi Pengurusan Bencana Jepun memaklumkan lebih 150,000 penduduk telah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan.

Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan yang kuat dalam tempoh kira-kira seminggu serta risiko kejadian tanah runtuh.

JMA sebelum ini turut mengeluarkan amaran tsunami setinggi satu meter susulan gempa berkenaan sebelum menarik balik amaran itu tidak lama kemudian.

Kyushu Electric Power pula memaklumkan kira-kira 40,000 kediaman terputus bekalan elektrik akibat gempa tersebut, manakala syarikat telekomunikasi KDDI dan Docomo melaporkan gangguan perkhidmatan komunikasi di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kejanggalan dikesan di loji jana kuasa nuklear yang terletak berhampiran kawasan terjejas.

Jepun merupakan antara negara paling aktif mengalami gempa bumi di dunia kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik (Ring of Fire), yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada gempa bumi berkekuatan 6.0 magnitud dan ke atas di seluruh dunia.

Intipati
  • Gempa 7.1 magnitud menggegarkan Kumamoto, menyebabkan lebih 50 cedera, menurut laporan media Jepun.
  • Lebih 150,000 penduduk diarahkan berpindah ketika pihak berkuasa menilai kerosakan sebenar.
  • Bekalan elektrik, komunikasi, penerbangan dan kereta api terganggu, manakala amaran tsunami ditarik balik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan