Sekurang-kurangnya tiga orang cedera ringan manakala sejumlah bangunan mengalami kerosakan selepas gempa bumi bermagnitud 4.8 melanda selatan Sepanyol pada Selasa.
Menurut Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol (IGN), pusat gempa terletak kira-kira 10 kilometer (km) di selatan bandar bersejarah Granada, berhampiran bandar Alhendín.
Gempa Bumi 4.8 Magnitud gegar Granada
Gempa yang berlaku pada 10:37 pagi waktu tempatan (8:37 pagi GMT) itu dikesan pada kedalaman kurang daripada 10 km, menyebabkan penduduk tempatan bergegas keluar dari kediaman masing-masing kerana bimbang berlaku gegaran susulan yang lebih kuat.
Sejumlah kenderaan turut rosak akibat terkena serpihan bangunan yang jatuh, manakala beberapa muzium, bangunan pentadbiran dan pusat sukan terpaksa ditutup.
IGN memaklumkan gempa berkenaan merupakan yang terbaharu dalam siri gegaran cetek yang melanda kawasan itu sejak Jumaat lalu dan dirasai secara meluas.
Seorang penduduk Granada, Alfonso Malpica, berkata gegaran yang dirasainya dari apartmen tingkat bawah lebih kuat berbanding gegaran kecil yang biasa berlaku di kawasan berkenaan.
Sementara itu, seorang pekerja makmal, Cristina Ruiz Lopez, berkata keadaan menjadi cemas ketika beliau berada di sebuah pasar raya di Granada.
“Segalanya mula jatuh. Ia sangat menakutkan,” katanya seperti dipetik agensi berita AFP.
Istana Alhambra yang terkenal di Granada, tapak Warisan Dunia UNESCO dan antara contoh seni bina Islam zaman pertengahan yang paling penting, turut ditutup pada sebelah petang sebagai langkah keselamatan.
Tapak bersejarah itu menerima kunjungan jutaan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, rangkaian metro Granada mengurangkan kelajuan operasi kereta api kepada 30 kilometer sejam atas faktor keselamatan, selain memberi amaran bahawa langkah itu mungkin menyebabkan kelewatan kepada penumpang.

