Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Bumi Jepun: Angka Korban Meningkat Kepada 34 Orang

Gempa Bumi Jepun
Kredit: Yonhap

Gempa Bumi Jepun: Angka Korban Meningkat Kepada 34 Orang

Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda barat daya Jepun di Wilayah Kumamoto meningkat kepada 34 orang, menurut pihak berkuasa tempatan.

Menurut laporan BBC, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang terselamat selepas gempa bumi berkenaan melanda wilayah Kumamoto di Pulau Kyushu pada Selasa.

Difahamkan, beberapa mangsa maut selepas sebahagian sebuah pusat beli-belah Aeon Kashima runtuh, sebelum satu letupan berlaku kira-kira sejam kemudian di kompleks berkenaan.

Sementara itu, ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini ditempatkan di pusat pemindahan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kini berdepan cabaran untuk memastikan mangsa kekal sejuk dan mendapat bekalan air yang mencukupi berikutan cuaca panas melampau di kawasan tersebut.

Lebih-lebih lagi, suhu di Kumamoto dijangka mencecah 39 darjah Celsius dalam beberapa hari akan datang. Susulan itu, pihak berkuasa menggesa mangsa serta anggota penyelamat mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan strok haba.

Semalam, Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi mengumumkan penghantaran 300 unit penghawa dingin ke Kumamoto, dengan 150 daripadanya diperuntukkan kepada pusat pemindahan.

Kira-kira 9,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan, manakala lebih 30,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik setakat Rabu.

Sejak gempa utama berlaku, lebih 100 gegaran susulan direkodkan, menyebabkan ramai penduduk memilih tidur di dalam kenderaan kerana bimbang berlaku gegaran baharu.

Ribuan anggota penyelamat digerakkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Tumpuan utama ketika ini adalah di pusat beli-belah Aeon Kashima, antara bangunan yang paling terjejas selepas sebahagian tingkat duanya runtuh.

Pusat beli-belah itu turut digegarkan satu letupan kira-kira sejam selepas gempa utama berlaku.

Presiden Aeon berkata, letupan itu berkemungkinan besar berpunca daripada kebocoran gas, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Pusat beli-belah Aeon di Kumamoto itu baru sahaja dibuka semula bulan lalu selepas menjalani kerja naik taraf.

Sebelum ini, bangunan tersebut turut mengalami kerosakan akibat siri gempa bumi kuat pada April 2016 yang mengorbankan 278 nyawa di wilayah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, pasukan penyelamat turut menjalankan operasi di sebuah kilang milik Nippon Paper di bandar Yatsushiro, di mana sekurang-kurangnya lima pekerja maut selepas sebahagian kilang itu runtuh ketika gempa.

Seramai 11 individu dilaporkan terperangkap dalam bangunan berkenaan, dengan tujuh daripadanya berjaya diselamatkan setakat Rabu, menurut kenyataan syarikat.

Gempa bumi yang berlaku pada kedalaman sekitar 10 kilometer itu turut menggegarkan kawasan sekitar Kumamoto.

Sumber:BBC News
Intipati
  • Angka korban gempa bumi kuat di Kumamoto meningkat kepada 34 orang, menurut pihak berkuasa tempatan.
  • Kira-kira 9,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan, manakala lebih 30,000 isi rumah terputus elektrik.
  • Operasi menyelamat tertumpu di pusat beli-belah Aeon Kashima dan kilang Nippon Paper di Yatsushiro.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan