Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Bumi Jepun: Beberapa Mangsa Dipercayai Maut Dalam Runtuhan Pusat Beli Belah

Gempa Bumi Jepun
Gambar: X

Gempa Bumi Jepun: Beberapa Mangsa Dipercayai Maut Dalam Runtuhan Pusat Beli Belah

Sebahagian besar mangsa dipercayai maut dan sekurang-kurangnya 50 cedera dalam kejadian runtuhan sebuah pusat beli-belah Aeon susulan gempa bumi kuat yang melanda di wilayah Kumamoto, Jepun pada Selasa petang tadi, lapor AFP.

Menurut laporan penyiar TBS, Perkhidmatan kecemasan sebelum itu memaklumkan bahawa ramai mangsa dipercayai terperangkap di dalam bangunan berkenaan selepas sebahagian lantainya runtuh.

Menurut kenyataan jabatan bomba, tingkat dua sebuah kompleks beli-belah di pekan Kashima runtuh, menyebabkan ramai individu terperangkap di dalamnya.

Pihak polis turut memaklumkan mereka menerima laporan mengenai bunyi yang dipercayai letupan di cawangan Aeon Mall berkenaan.

Gempa bumi bermagnitud awal 7.1 menggegarkan Wilayah Kumamoto di pulau utama selatan Jepun, Kyushu, pada lewat petang Selasa. Susulan itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami.

Gempa tersebut berlaku pada kedalaman 10 kilometer di bawah dasar laut. Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik Amerika Syarikat (US Pacific Tsunami Warning Center) memaklumkan tiada risiko tsunami di luar kawasan pesisir tempatan sebelum menarik balik amaran itu.

Penyiar NHK melaporkan sekurang-kurangnya 50 orang cedera telah dihantar ke hospital. Selain itu, 12 buah rumah dilaporkan runtuh, dengan empat kejadian melibatkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah.

Tiada risiko di loji nuklear

Syarikat Kyushu Electric Power memaklumkan tiada sebarang keabnormalan dikesan di loji janakuasa nuklear Sendai dan Genkai selepas gempa bumi tersebut.

Sementara itu, pengendali kereta api JR Kyushu mengumumkan semua perkhidmatan, termasuk kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen, digantung sementara susulan gempa berkenaan.

Terdahulu, daerah Kumamoto pernah dilanda gempa bumi dahsyat pada tahun 2016 yang mengorbankan lebih 50 orang, mencederakan kira-kira 1,800 mangsa, serta memusnahkan atau merosakkan puluhan ribu kediaman.

Untuk makluman, Jepun merupakan antara negara paling kerap mengalami gempa bumi di dunia, dengan gegaran berlaku secara purata sekurang-kurangnya setiap lima minit.

Terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik (Ring of Fire) yang merangkumi rangkaian gunung berapi dan parit lautan di sekitar Lautan Pasifik, Jepun menyumbang kira-kira 20 peratus daripada gempa bumi bermagnitud 6.0 atau lebih yang berlaku di seluruh dunia.

Intipati
  • Beberapa mangsa dipercayai maut selepas lantai pusat beli-belah Aeon di Kashima runtuh.
  • Sekurang-kurangnya 50 orang dihantar ke hospital, manakala beberapa rumah turut dilaporkan runtuh.
  • JMA mengeluarkan amaran tsunami, namun amaran itu kemudian ditarik balik oleh pihak berkaitan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan