Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Bumi Kuat Mindanao: Amaran Tsunami Dikeluarkan

Hannah
Gempa Mindanao
Gambar: Philippine Information Agency via CNN

Gempa Bumi Kuat Mindanao: Amaran Tsunami Dikeluarkan

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan wilayah Mindanao di selatan Filipina pada pagi Isnin. Lapor CNN, hal ini sekali gus mencetuskan amaran tsunami di negara itu serta negara jiran, Indonesia.

Menurut United States Geological Survey (USGS), gempa bumi itu berlaku sekitar jam 7.37 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira 35 kilometer di bawah permukaan bumi.

Susulan kejadian itu, Philippine Institute of Volcanology and Seismology telah mengeluarkan amaran tsunami dan menggesa penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat pula memaklumkan bahawa ombak tsunami setinggi antara satu hingga tiga meter melebihi paras air pasang berkemungkinan melanda beberapa kawasan di Filipina.

Gambar yang dikongsi oleh pejabat maklumat tempatan di bandar General Santos menunjukkan beberapa bangunan dan premis perniagaan mengalami kerosakan akibat gegaran kuat tersebut.

Ketua Polis bandar Alabel, Benjie Ancheta, berkata bangunan balai polis mengalami beberapa rekahan sejurus selepas gempa berlaku ketika mereka sedang menjalankan upacara menaikkan bendera.

Menurut beliau, setakat ini tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan serius diterima. Namun, beberapa individu dilaporkan pengsan akibat panik dan terkejut dengan gegaran yang sangat kuat.

“Ini adalah gempa bumi paling kuat yang pernah kami alami,” katanya ketika dihubungi media, seperti dilapor CNN.

Indonesia juga keluar amaran tsunami

Sementara itu, Indonesia turut mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai timur laut negara itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan gempa kuat yang berlaku di Filipina.

Pihak berkuasa kedua-dua negara kini sedang memantau perkembangan situasi dan menilai tahap kerosakan serta risiko susulan yang mungkin berlaku.

Sumber:CNN