Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Iran Lancar Serangan Peluru Berpandu Ke Israel
Iran melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah Israel pada Ahad, menjadikannya serangan pertama seumpama itu sejak gencatan senjata yang dicapai pada April lalu bagi meredakan konflik di Timur Tengah.
Tentera Israel memaklumkan siren amaran serangan udara dibunyikan di beberapa kawasan selepas sistem pertahanan negara itu mengesan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Menurut pihak tentera, sebanyak 11 peluru berpandu berjaya dipintas dan dimusnahkan tanpa menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan, lapor AFP.
Serangan tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas Israel melancarkan serangan udara ke kawasan pinggir selatan Beirut, Lubnan yang dikenali sebagai kubu kuat kumpulan Hezbollah, sekutu utama Iran di rantau itu.
Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyifatkan tindakan mereka sebagai satu 'amaran' kepada Israel.
Menurut kenyataan IRGC, Iran tidak akan teragak-agak untuk melancarkan serangan yang lebih besar sekiranya Israel terus melakukan serangan ke atas Lubnan atau sasaran yang berkaitan dengan Iran.
"Operasi malam ini adalah satu amaran. Jika pencerobohan seperti ini berulang, tindak balas kami akan menjadi lebih meluas dan merangkumi semua sasaran Amerika Syarikat serta Zionis di rantau ini," kata IRGC.
Dalam pada itu, sejurus selepas serangan peluru berpandu dilancarkan, Iran mengumumkan penutupan ruang udara di bahagian barat negara itu.
Negara jiran seperti Iraq dan Syria turut mengambil langkah sama sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain itu, semua penerbangan masuk ke lapangan terbang antarabangsa Tehran turut digantung buat sementara waktu.
Israel menyifatkan tindakan Iran sebagai satu "kesilapan besar" dan memberi amaran bahawa negara itu bersedia untuk melancarkan serangan balas pada bila-bila masa.
Ketua tentera Israel, Eyal Zamir, berkata pasukannya akan menyerang Iran sebaik sahaja menerima arahan daripada kerajaan.
Ketegangan semakin memuncak selepas serangan Israel di Beirut mengorbankan dua orang dan mencederakan 20 yang lain menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Israel mendakwa serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket dan dron oleh Hezbollah ke arah beberapa kem tentera Israel di utara negara tersebut.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menuduh Amerika Syarikat memberi "lampu hijau" kepada Israel untuk melancarkan serangan di Beirut.
Beliau turut memberi amaran bahawa aset milik Amerika Syarikat dan Israel kini dianggap sebagai sasaran yang sah oleh Iran.
Pada masa sama, ketua pemerintah pusat tentera Iran menuduh Israel telah "melangkaui semua garis merah" dengan menyerang Beirut dan menuntut supaya operasi ketenteraan di Lubnan dihentikan segera.
Serangan terbaru itu turut mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai kemungkinan perang yang lebih besar di Timur Tengah.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan segera menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi mengelakkan tindakan balas yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Menurut wartawan Axios, Barak Ravid, Trump berkata beliau akan menasihati Netanyahu supaya tidak membalas serangan Iran.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak Rumah Putih masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perbualan tersebut.
Sementara itu, usaha diplomatik bagi mencari penyelesaian jangka panjang masih diteruskan walaupun berdepan pelbagai halangan.
Iran dan Amerika Syarikat masih belum mencapai kemajuan dalam rundingan yang sedang berlangsung.
Penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, menyatakan rundingan kini berada dalam keadaan buntu dan menggesa Washington mengambil langkah untuk memecahkan kebuntuan tersebut.
Namun Trump menegaskan Amerika Syarikat tidak akan membuka semula aset Iran yang dibekukan sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan awal.