Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gempa Kuat 8.8M: Ombak Tsunami Tiba Di California, Amerika Syarikat
Ombak tsunami akibat gempa kuat 8.8 magnitud yang menggegar wilayah pasifik hari ini dilapor tiba di kawasan pantai California Utara, Amerika Syarikat kira-kira 1.00 pagi (waktu tempatan), pada Rabu.
Gelombang ombak pertama setinggi kira-kira 3.6 kaki itu membadai persisiran pantai berhampiran Crescent City dan Teluk Humboldt.
Menurut CNN, seluruh Pantai Barat Amerika Syarikat diletakkan di bawah amaran tsunami untuk tempoh berjam-jam lamanya hari ini.
Ia susulan kejadian gempa paling kuat dalam tempoh 14 tahun yang melanda tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky, Rusia kira-kira pukul 7.25 pagi (waktu Malaysia).
Beberapa kawasan pantai utara California bermula sempadan California-Oregon hingga Cape Medocina yang merangkumi Crescent City diletakkan di bawah amaran ini.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Eureka turut meletakkan Cressent City sebagai kawasan paling berisiko tinggi dalam amaran tersebut.
Pihak berkuasa bandar dengan populasi penduduk kira-kira 6,000 itu juga mengingatkan bahawa amaran mungkin akan bertahan sehingga lewat tengah malam.
“Air pasang dijangka berlaku pada pukul 3.30 hingga 4.00 pagi, di mana kita mungkin akan melihat ombak yang lebih tinggi tiba dan boleh menjejaskan kawasan yang lebih rendah.
“Situasi ini dijangka berterusan hingga esok, tetapi maklumat lanjut hanya akan diketahui pada esok pagi,” kata Dewan Bandaraya Cressent City dalam satu kenyataan.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut berhubung status kerosakan atau kemalangan dilaporkan.
BACA: Harga Runcit RON97 Turun 4 Sen, RON95 & Diesel Tidak Berubah
Sumber: New York Post