Ditegur sikit, terasa. Gagal sekali, mahu mengalah. Bila ditolak, sukar menerima. Tak dapat apa yang diminta, terus mengamuk.
Begitulah antara tanggapan yang sering dilemparkan terhadap Gen Z sehingga mereka dilabel sebagai generasi “strawberi”. Ibarat buah yang kelihatan cantik di luar, tetapi mudah lebam apabila menerima sedikit tekanan.
Lebih-lebih lagi apabila anak muda bercakap tentang tekanan kerja, kesihatan mental atau keinginan mendapatkan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi.
Ada yang memahami, ada juga yang menganggap mereka terlalu manja dan tidak tahan diuji.
Betulkah generasi sekarang lebih “lembik”, atau ada tekanan yang kita belum cukup fahami?
Laporan Deloitte Global 2025 Gen Z and Millennial Survey memberikan gambaran menarik mengenai perkara ini, termasuk perbezaan pengalaman Gen Z dengan milenial, atau Gen Y.
Kajian tersebut melibatkan 23,482 responden dari 44 negara. Dalam kajian ini, responden Gen Z ialah mereka yang lahir antara 1995 hingga 2006, manakala milenial antara 1983 hingga 1994.
Bagaimanapun, laporan ini tidak menguji sama ada seseorang mudah terasa apabila ditegur atau mengamuk apabila kehendaknya tidak dipenuhi.
Ia meneliti pengalaman, kebimbangan dan pandangan kedua-dua generasi mengenai kehidupan serta pekerjaan.
Gen Z lebih ramai melaporkan tekanan, tetapi Gen Y turut bergelut
Menurut Deloitte, 40 peratus Gen Z berasa tertekan atau cemas sepanjang masa atau kebanyakan masa, berbanding 34 peratus milenial.
Memang ada perbezaan, tetapi angka itu sahaja tidak membuktikan Gen Z lebih lemah. Ia menunjukkan lebih ramai responden Gen Z melaporkan pengalaman tersebut.
Pada masa sama, kira-kira satu pertiga responden milenial turut mengalami tekanan atau kebimbangan dengan kekerapan yang sama.
Jadi, isu ini juga melibatkan generasi yang sudah lebih lama berada dalam dunia pekerjaan.
1. Dua-dua bekerja, dua-dua masih menunggu gaji seterusnya

Apabila bercakap tentang anak muda dan wang, mudah untuk perbincangan beralih kepada gaya hidup atau tabiat berbelanja.
Namun, laporan ini menunjukkan tekanan kewangan yang melibatkan kedua-dua generasi.
Sebanyak 52 peratus Gen Z dan 52 peratus milenial mengatakan mereka hidup bergantung pada gaji ke gaji.
Sementara itu, 37 peratus Gen Z dan 35 peratus milenial mengakui sukar membayar perbelanjaan sara hidup setiap bulan.

Malah, kos sara hidup berada dalam tiga kebimbangan utama 39 peratus Gen Z, berbanding 42 peratus milenial.
Dalam perkara ini, peratusan milenial sebenarnya lebih tinggi. Usia yang semakin meningkat dan pengalaman bekerja yang lebih panjang belum tentu membuatkan seseorang bebas daripada kebimbangan kewangan.
2. Masa depan sendiri belum terjamin, keadaan keluarga turut difikirkan
Orang mungkin nampak mereka datang bekerja, berbual dan ketawa seperti biasa. Namun, itu tidak menceritakan semua perkara yang sedang bermain dalam fikiran.
Dalam kajian tersebut, 48 peratus Gen Z dan 45 peratus milenial menyatakan masa depan kewangan jangka panjang menyumbang banyak kepada tekanan atau kebimbangan mereka.

Kesihatan serta kebajikan keluarga pula menjadi penyumbang besar bagi 46 peratus Gen Z dan 45 peratus milenial.
Ini memberikan gambaran bahawa kedua-dua generasi memikirkan keadaan orang tersayang, selain kelangsungan hidup sendiri.
Malah, kebimbangan tidak dapat bersara dengan selesa lebih tinggi dalam kalangan milenial, iaitu 44 peratus, berbanding 41 peratus Gen Z.
3. Penat bekerja dan tidak dihargai dirasai kedua-dua generasi
Gen Z yang mengadu tentang pekerjaan kadangkala dianggap tidak tahan tekanan. Tetapi bagaimana pula apabila milenial melaporkan perkara hampir sama?
Dalam kalangan responden yang mengatakan pekerjaan menyebabkan tekanan, 48 peratus Gen Z dan 47 peratus milenial menyebut waktu bekerja panjang sebagai penyumbang besar.

Peratusan yang sama turut direkodkan bagi faktor tidak menerima pengiktirafan atau ganjaran yang mencukupi atas kerja dilakukan.
Budaya tempat kerja toksik pula disebut oleh 44 peratus Gen Z dan 45 peratus milenial dalam kumpulan tersebut.
Perbezaannya kecil, malah bagi budaya kerja toksik, angka milenial sedikit lebih tinggi.
Dapatan ini memberi alasan untuk kita meneliti keadaan tempat kerja apabila pekerja mengadu.
Beban tugas, penghargaan dan cara mereka dilayan juga perlu diambil kira sebelum membuat kesimpulan mengenai sikap seseorang.
4. Nak bercakap tentang masalah pun masih takut

Walaupun isu kesihatan mental semakin terbuka dibincangkan, masih ada yang bimbang kesannya jika mereka bersuara.
Sebanyak 26 peratus Gen Z dan 26 peratus milenial takut pengurus akan mendiskriminasi mereka sekiranya mereka membangkitkan isu kesihatan mental.
Ini menunjukkan kebimbangan untuk berkongsi masalah bukan hanya dialami oleh generasi paling muda.
Jika setiap luahan terus disambut dengan label “manja” atau “lembik”, perbincangan tentang punca masalah boleh terhenti sebelum keadaan sebenar difahami.
5. Dikatakan cepat mengalah, tetapi ramai masih berusaha tambah kemahiran
Satu lagi dapatan menarik ialah usaha kedua-dua generasi meningkatkan kemahiran untuk memajukan kerjaya.
Menurut Deloitte, 70 peratus Gen Z melakukannya sekurang-kurangnya sekali seminggu, berbanding 59 peratus milenial.
Laporan itu turut menyatakan 67 peratus Gen Z mengembangkan kemahiran di luar waktu bekerja, termasuk sebelum atau selepas kerja serta pada hari cuti.

Dapatan ini memberikan gambaran yang lebih luas berbanding tanggapan bahawa anak muda tidak mahu berusaha.
Walaupun ia tidak mengukur ketahanan seseorang ketika gagal, ia menunjukkan ramai responden Gen Z tetap melaburkan masa untuk memperbaiki kebolehan diri. 2025-genz-millennial-survey
Jadi, betulkah Gen Z ‘lembik’ macam strawberi?
Berdasarkan laporan ini, label tersebut terlalu mudah untuk menggambarkan seluruh generasi.
Gen Z mencatatkan peratusan tekanan yang lebih tinggi dalam beberapa perkara.
Namun, milenial turut menghadapi masalah hampir sama, malah merekodkan angka lebih tinggi bagi sebahagian kebimbangan.
Menerima teguran, mengurus kekecewaan dan belajar daripada kegagalan tetap kemahiran penting untuk semua peringkat umur. Namun, laporan ini tidak memberikan bukti bahawa semua Gen Z lemah dalam perkara tersebut.
Perangai seseorang yang sukar menerima teguran juga tidak boleh terus dijadikan ukuran untuk berjuta-juta orang dalam generasinya.
Sebelum kita sendiri melabel mereka “strawberi”, mungkin lebih adil untuk melihat apa yang sedang mereka hadapi, bagaimana mereka bertindak dan usaha yang sedang dilakukan untuk memperbaiki keadaan.
