Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Geran Sepadan PTPTN RM10,000: Syarat Kelayakan Dan Cara Tuntut Bantuan
Kos pendidikan tinggi yang semakin meningkat menyebabkan ramai ibu bapa mula mencari jalan terbaik untuk menyediakan persediaan kewangan anak-anak sejak awal. Selain bergantung kepada pinjaman pendidikan, tabungan sendiri juga menjadi salah satu langkah penting bagi memastikan anak mempunyai sokongan kewangan apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menyedari cabaran tersebut, kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan Geran Sepadan sehingga RM10,000 menerusi skim simpanan pendidikan Simpan SSPN Prime. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan budaya menabung dalam kalangan ibu bapa. Khususnya keluarga yang berpendapatan rendah supaya mereka dapat menyediakan dana pendidikan anak secara lebih terancang.
Melalui skim ini, setiap simpanan yang dibuat oleh ibu bapa atau penjaga dalam akaun Simpan SSPN Prime berpeluang menerima tambahan geran daripada kerajaan apabila anak berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf.
Geran Sepadan PTPTN merupakan satu bentuk insentif kewangan yang diberikan oleh kerajaan sebagai galakan kepada ibu bapa atau penjaga untuk membuka akaun simpanan pendidikan bagi anak-anak. Bantuan ini diberikan berdasarkan kelayakan tertentu selepas penerima manfaat berjaya melanjutkan pengajian ke IPT.
Inisiatif ini mula diperkenalkan oleh kerajaan semasa pembentangan Bajet 2003 pada 20 September 2002 sebagai usaha memperkukuhkan budaya menabung dalam kalangan rakyat.
Pada ketika itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi pelaksanaan Geran Sepadan sebagai sokongan kepada keluarga. Terutama golongan yang berpendapatan rendah dalam membuat persediaan kewangan pendidikan tinggi anak-anak.
Secara mudahnya, simpanan yang dibuat oleh ibu bapa dalam akaun Simpan SSPN Prime boleh membantu menyediakan dana pendidikan untuk anak-anak pada masa hadapan.
Selain simpanan tersebut, keluarga yang memenuhi syarat kelayakan juga berpeluang menerima tambahan bantuan daripada kerajaan sehingga RM10,000 bagi setiap keluarga.
Konsep Geran Sepadan adalah berdasarkan usaha simpanan yang dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga. Apabila akaun Simpan SSPN Prime dibuka untuk anak dan simpanan dibuat secara berperingkat, keluarga tersebut berpeluang mendapatkan manfaat tambahan apabila anak melanjutkan pengajian ke IPT.
Sebagai contoh, ibu bapa yang mula menyimpan sedikit demi sedikit sejak anak masih kecil boleh menggunakan simpanan tersebut sebagai persediaan pendidikan pada masa hadapan.
Apabila anak menerima tawaran pengajian tinggi dan memenuhi syarat yang ditetapkan, tuntutan Geran Sepadan boleh dibuat bagi mendapatkan bantuan tambahan daripada kerajaan.
Kemudahan ini memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah untuk merancang kewangan pendidikan anak tanpa perlu menanggung keseluruhan kos secara bersendirian.
Bagi keluarga yang memenuhi syarat kelayakan, jumlah bantuan yang boleh diterima adalah sehingga RM10,000 bagi setiap keluarga.
Jumlah pemberian ini adalah tertakluk kepada had maksimum yang ditetapkan dan tidak bergantung kepada jumlah akaun Simpan SSPN Prime yang dibuka.
Sekiranya ibu bapa mempunyai lebih daripada seorang anak dan membuka beberapa akaun simpanan, jumlah keseluruhan Geran Sepadan yang diterima masih tertakluk kepada had maksimum RM10,000 untuk satu keluarga.
Bagi memastikan bantuan ini diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, beberapa syarat kelayakan perlu dipenuhi oleh pendeposit dan penerima manfaat.
1. Akaun Simpan SSPN Prime dibuka untuk anak
Geran Sepadan hanya diberikan kepada ibu bapa atau penjaga yang sah yang membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk anak sendiri atau anak di bawah jagaan mereka.
Individu yang membuka akaun untuk diri sendiri atau pihak lain yang tidak mempunyai hubungan penjagaan yang sah tidak layak membuat tuntutan Geran Sepadan ini.
2. Pendapatan keluarga tidak melebihi RM4,000 sebulan
Salah satu syarat utama yang ditetapkan ialah pendapatan bulanan keluarga berdasarkan gaji pokok pendeposit tidak melebihi RM4,000 ketika permohonan dibuat.
Syarat ini bertujuan memastikan manfaat Geran Sepadan diberikan kepada keluarga yang memerlukan sokongan tambahan dalam menyediakan simpanan pendidikan anak-anak.
3. Anak telah melanjutkan pengajian Ke IPT
Penerima manfaat atau anak yang dinamakan dalam akaun Simpan SSPN Prime mestilah telah menerima tawaran dan mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi.
Pengajian tersebut perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu:
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang diiktiraf kerajaan
Kursus yang mendapat pengiktirafan
Pengajian di peringkat sijil dan ke atas
4. Umur anak belum mencapai 29 tahun
Bagi membuat tuntutan Geran Sepadan, penerima manfaat mestilah belum mencapai umur 29 tahun ketika permohonan pengeluaran geran dilakukan.
Had umur ini ditetapkan bagi memastikan bantuan diberikan kepada pelajar yang masih berada dalam tempoh pengajian atau baru memulakan pendidikan tinggi.
Tuntutan Geran Sepadan hanya boleh dibuat apabila anak telah memenuhi syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Tuntutan Geran Sepadan PTPTN hanya boleh dilakukan apabila anak telah memenuhi syarat pengajian yang ditetapkan. Proses tuntutan boleh dibuat selepas anak menerima surat tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) serta membuat pendaftaran rasmi sebagai pelajar.
Anak juga perlu mengikuti kursus pengajian yang telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan bagi melayakkan permohonan tuntutan tersebut diproses.
Proses tuntutan ini memastikan bantuan diberikan kepada penerima manfaat yang benar-benar meneruskan pendidikan tinggi di institusi dan program pengajian yang layak.
Selain itu, akaun Simpan SSPN Prime mestilah masih aktif ketika proses tuntutan dilakukan. Akaun yang telah ditutup sebelum permohonan dibuat tidak layak menerima pemberian Geran Sepadan.
Bagi melancarkan proses permohonan, pendeposit perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan ketika membuat tuntutan Geran Sepadan.
Antara dokumen yang diperlukan termasuk:
Borang Pengeluaran/Penutupan Akaun/Tuntutan Geran Sepadan
Dokumen pengesahan pendapatan seperti slip gaji, penyata pencen atau dokumen berkaitan pendapatan pendeposit dan pasangan
Salinan sijil kelahiran anak, sijil anak angkat atau dokumen pengesahan penjagaan
Salinan MyKad pasangan atau dokumen berkaitan seperti sijil kematian atau surat cerai jika berkenaan
Surat tawaran kemasukan ke IPT
Resit bayaran pendaftaran masuk ke IPT
Surat pengesahan aktif belajar daripada institusi berkaitan sekiranya diperlukan
Bagi anak yang menerima pembiayaan pendidikan daripada PTPTN, beberapa dokumen berkaitan pengajian mungkin tidak diperlukan kerana maklumat pembiayaan boleh disahkan melalui rekod PTPTN.
1. Membantu mengurangkan beban kos pendidikan tinggi
Melanjutkan pengajian ke universiti atau kolej memerlukan perbelanjaan yang besar termasuk yuran pengajian, kos penginapan, pembelian buku, peralatan pembelajaran serta perbelanjaan harian.
Dengan adanya Geran Sepadan, keluarga mempunyai sumber kewangan tambahan yang boleh membantu meringankan beban apabila anak memasuki alam pendidikan tinggi.
2. Menggalakkan ibu bapa menabung sejak awal
Ramai ibu bapa mungkin beranggapan simpanan pendidikan memerlukan jumlah wang yang besar. Namun, melalui Simpan SSPN Prime, ibu bapa boleh memulakan tabungan secara kecil-kecilan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Amalan menyimpan sejak awal dapat membantu menyediakan dana pendidikan serta membentuk perancangan kewangan keluarga yang lebih sistematik.
3. Memberi peluang pendidikan lebih luas kepada anak
Sokongan kewangan merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi peluang seseorang pelajar untuk meneruskan pengajian tinggi.
Melalui Geran Sepadan, keluarga berpendapatan rendah diberikan peluang untuk membuat persediaan lebih awal supaya anak-anak dapat mengejar impian akademik tanpa terlalu terbeban dengan masalah kewangan.
Ramai yang masih keliru antara Geran Sepadan dan inisiatif GAPAI kerana kedua-duanya berkaitan dengan simpanan pendidikan Simpan SSPN Prime.
Namun, terdapat beberapa perbezaan utama:
Geran Sepadan RM10,000
Disasarkan kepada keluarga dengan pendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah
Menawarkan bantuan sehingga RM10,000
Melibatkan simpanan melalui Simpan SSPN Prime
Tuntutan dibuat apabila anak melanjutkan pengajian ke IPT
GAPAI
Disasarkan kepada keluarga dengan pendapatan sekitar RM4,001 hingga RM6,000
Menawarkan bantuan sehingga RM5,000
Turut berkaitan dengan simpanan pendidikan Simpan SSPN Prime
Kedua-dua inisiatif ini diwujudkan bagi membantu lebih ramai keluarga membuat persediaan kewangan pendidikan anak mengikut kategori pendapatan masing-masing.
Secara keseluruhannya, Geran Sepadan PTPTN RM10,000 merupakan salah satu peluang yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk membina simpanan pendidikan anak dengan sokongan tambahan daripada kerajaan.
Melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime dan amalan menyimpan secara konsisten, ibu bapa dapat menyediakan tabungan pendidikan yang lebih terancang untuk masa depan anak-anak. Mereka juga berpeluang menerima bantuan tambahan daripada kerajaan apabila anak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Bagi keluarga yang memenuhi syarat kelayakan, inisiatif ini boleh menjadi langkah awal dalam memastikan pendidikan anak-anak lebih terjamin serta mengurangkan tekanan kewangan apabila tiba masa mereka memasuki alam universiti atau kolej.