Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Inisiatif Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) Perkukuh Akses Pendidikan Tinggi Negara
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) disebabkan kekangan kewangan, selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memperluas akses pendidikan tinggi dan membangunkan modal insan yang berdaya saing.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan inisiatif biasiswa/ pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa/ pendidikan percuma PTPTN ini pula telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin.
Melalui pelaksanaan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN), pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mulai 1 Januari 2026.
BAeK PTPTN ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh permohonan, kursus yang diikuti telah mendaftar dengan PTPTN, mempunyai akaun Simpan SSPN yang masih aktif, tiada tunggakan pinjaman PTPTN dan baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan tidak kurang daripada satu (1) semester.
BAeK PTPTN adalah berdasarkan permohonan pinjaman PTPTN yang dibuat melalui aplikasi web myPTPTN.
Pelajar akan diluluskan pinjaman PTPTN terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar dan ditawarkan BAeK PTPTN sekiranya memenuhi syarat kelayakan. Pelajar akan dimaklumkan melalui e-mel dan mesej notifikasi di aplikasi myPTPTN.
Pelajar perlu memulangkan dokumen tawaran secara fizikal di mana-mana kaunter PTPTN dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat tawaran biasiswa. Pembayaran biasiswa kepada pelajar adalah pada setiap semester.

Pelajar akan ditawarkan biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi Diploma dan RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sastera) dan RM6,650 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sains).
Sesi Penyerahan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) kepada para pelajar telah diadakan di Johor pada hari ini yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBrs.
Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Puan Mazni binti Ruslan, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Johor.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2026 sehingga 31 Mei 2026, seramai 402 orang pelajar di seluruh negara menerima manfaat ini dengan jumlah peruntukan berjumlah RM8.79 juta.
Inisiatif tersebut membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi bukan penghalang kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Semoga pemberian BAeK PTPTN ini dapat memberi dorongan serta motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pembelajaran di samping membolehkan permulaan kerjaya tanpa hutang.
Usaha ini juga diharap dapat membantu golongan yang memerlukan serta menyumbang kepada pengurangan ketidaksamaan sosioekonomi secara berperingkat.
Penyerahan BAeK PTPTN akan diteruskan pada minggu depan dengan melibatkan dua penerima dari Melaka.