Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelbagai fenomena alam dapat disaksikan oleh penduduk bumi sejak berabad lamanya seperti gerhana matahari, gerhana bulan dan hujan meteor.
Terbaru, gerhana matahari penuh telah berlaku di beberapa kawasan di hemisfera utara, antaranya sebahagian daripada Greenland, Iceland dan Sepanyol serta kawasan terpencil di Artik dan Rusia.
Penduduk di negara-negara tersebut dilihat berkumpul dan menyaksikan detik-detik ketika gerhana itu berlaku.

Bagaimanapun, Malaysia tidak berpeluang menyaksikannya pada tahun ini.
Kita dijangka dapat melihat gerhana matahari separa pada 2 Ogos 2027.
Bercakap mengenai fenomena ini, SK ingin membawa anda menelusuri kembali sejarah mengenai gerhana matahari penuh yang berlaku pada 29 Mei 1919.
Untuk pengetahuan, fenomena itu menjadi antara ujian penting yang membantu mengesahkan teori relativiti umum Albert Einstein dalam satu eksperimen yang dilakukan oleh sekumpulan ahli astronomi British, termasuk Arthur Eddington.
Dipanggil sebagai eksperimen Eddington, matlamatnya adalah untuk mengesahkan teori relativiti umum Einstein.
Ahli fizik terkenal itu pernah mengemukakan bahawa graviti bukanlah daya tarikan tetapi sebenarnya adalah lengkungan ruang masa.
Ketika Einstein menerbitkan teori tersebut pada tahun 1915, beliau mencadangkan tiga ujian kritikal dan kemudian menegaskan dalam sepucuk surat kepada The Times of London bahawa jika salah satu kesimpulan daripada teorinya terbukti salah, teori tersebut perlu ditinggalkan.
Ia melibatkan ujian kemajuan perihelion Utarid, pesongan cahaya oleh medan graviti dan anjakan merah graviti.
Eddington tahu bahawa di bawah hipotesis Einstein, matahari sepatutnya membengkokkan cahaya bintang lain.

Tetapi ia tidak dapat dilihat ketika siang hari kerana silau matahari akan menenggelamkan cahaya bintang tersebut.
Justeru, gerhana matahari penuh menawarkan momen unik untuk menguji teori tersebut.
Bagi membuktikannya, dua pasukan ekspedisi menjalankan pemerhatian di dua lokasi, iaitu Pulau Príncipe di luar pantai Afrika dan bandar Sobral di Brazil.

Mereka kemudian membandingkan kedudukan bintang dalam gambar ketika gerhana dengan gambar rujukan bintang yang diambil ketika matahari tidak berada di kawasan langit tersebut.
Hasilnya, kedudukan bintang didapati mengalami pesongan yang selaras dengan ramalan teori Einstein.
Eksprimen itu mendapat perhatian ramai, sekali gus membantu mengangkat Einstein menjadi 'selebriti' global dalam sekelip mata.
Keputusan tersebut diumumkan pada mesyuarat bersama Royal Society dan Royal Astronomical Society pada 6 November 1919 sebelum mendapat liputan meluas media.
Ia menjadi salah satu eksperimen saintifik penting abad ke-20
Pun begitu, tidak semua orang menerima keputusan eksperimen tersebut dengan hati yang terbuka.
Sesetengah pihak kemudian menuduh Eddington memilih data yang memihak kepada Einstein selepas data daripada salah satu instrumen utama di Sobral diketepikan.
Ada juga yang mempersoalkan sama ada imejnya berkualiti untuk membuat kesimpulan yang muktamad.
Beranjak ke tahun 1922, ahli astronomi di Balai Cerap Lick di California mengulangi pengukuran semasa gerhana dan mendapat keputusan yang serupa dengan eksprimen Eddington.
Begitu juga pasukan yang membuat pengukuran semasa gerhana matahari 1953 dan 1973. Setiap keputusan baharu adalah lebih baik daripada yang sebelumnya.
Menjelang tahun 1960-an, kebanyakan ahli fizik menerima bahawa ramalan Einstein tentang berapa banyak cahaya yang akan dipesongkan adalah tepat.
Eddington meninggal dunia akibat kanser pada November 1944 selepas kerjaya yang panjang dan cemerlang.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan