Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gigih Tolak Air, Pekerja KLIA Raih Pujian Ramai
Semalam, tular di media sosial kejadian bumbung bocor di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlaku berikutan hujan lebat.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini, kejadian tersebut berpunca daripada kesilapan pihak kontraktor ketika kerja baik pulih dijalankan.
MAHB turut menjelaskan bahawa kerja baik pulih berkenaan dijalankan bagi menangani infrastruktur yang semakin uzur. Namun, disebabkan perubahan cuaca berserta aktiviti kilat yang semakin aktif di sekitar, kerja-kerja berkenaan dihentikan serta-merta.
Keadaan yang kelam kabut itu menyebabkan salah satu sistem perparitan bumbung tersumbat dan menyebabkan berlaku kejadian ‘air terjun’ di terminal tersebut.
Biarpun banyak mata yang tertancap pada kejadian tersebut, satu lagi kejadian di lokasi yang sama turut menjadi buah mulut warga maya.
Sebuah video perkongsian Tiktoker, Kenfia, menunjukkan sekumpulan pekerja lapangan terbang tersebut sedang gigih menolak air hujan yang membanjiri ruang balai pelepasan. Menerusi rakaman tersebut, ruangan yang dibanjiri air itu telah ditutup supaya kerja-kerja pembersihan dapat dijalankan dengan lancar.
Seramai lebih 10 orang pekerja bertugas menolak air secara berkumpulan dengan diselia oleh beberapa orang pekerja lagi.
“Ya betul, dekat KLIA 1,” kongsi lelaki tersebut.
Video pendek itu kini mendapat 14.8 ribu sukaan dengan lebih 6 ribu perkongsian.
Rata-rata warga maya memuji kegigihan para pekerja ini di ruangan komen. Malah, ada yang menyamakan tindakan mereka seperti di sebuah negara luar.
“Air terjun macam Singapura, tolak air macam Mekah. Betul-betul lapangan terbang antarabangsa,” puji warga maya.
“Ingatkan dekat Masjidil Haram tadi,” ujar seorang lagi.
“Tahniah, diorang baiki dan bersihkan dalam masa satu jam setengah je,” puji yang lain.
Sumber: Kenfia