Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jadi Peneman, Bapa Ikut Cosplay Demi Sokong Minat Anak Raih Pujian Ramai

Bapa Ikut Cosplay
Kredit: Mohd Norazhar
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Menjadi ibu atau bapa tunggal bukanlah satu tanggungjawab yang mudah, apatah lagi apabila perlu membesarkan anak sambil memastikan keperluan mereka sentiasa terjaga.

Namun, hubungan antara ibu bapa dengan anak boleh menjadi lebih akrab apabila mereka berkongsi minat dan melakukan aktiviti bersama-sama.

Begitulah kisah Mohd Norazhar yang bukan sahaja memberikan sokongan terhadap minat anaknya dalam dunia cosplay, malah turut mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.

Bapa Ikut Cosplay Demi Sokong Minat Anak

Menerusi satu hantaran di Threads, Norazhar berkongsi beberapa foto anaknya yang tampil mengenakan kostum watak Maomao daripada siri anime popular, The Apothecary Diaries.

Mereka menyertai acara Yume ACG Fest 2026 yang telah berlangsung di Sutera Mall, Johor Bahru pada 30 Oktober hingga 1 November.

Anaknya telah mengambil kesempatan sepanjang acara berkenaan untuk bergambar bersama beberapa cosplayer lain yang memeriahkan suasana.

Bagaimanapun, perhatian ramai bukan sahaja tertumpu kepada penampilan anaknya, malah Norazhar turut mencuri perhatian apabila muncul dengan kostum watak daripada siri sama.

Lebih menarik, Norazhar memilih untuk membawa watak Luomen, iaitu bapa angkat kepada Maomao dalam siri anime berkenaan.

Penampilan mereka sebagai pasangan watak bapa dan anak itu sekali gus menjadikan aktiviti cosplay tersebut lebih istimewa kerana dilakukan bersama-sama.

Menerusi ruangan kapsyen, Norazhar memaklumkan mereka kembali menyertai acara cosplay selepas anaknya selesai menduduki peperiksaan.

“Dah habis peperiksaan baru boleh join event cosplay balik,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang memuji kesediaan Norazhar menyokong minat anaknya.

Rata-rata turut menyifatkan pengalaman melakukan aktiviti bersama itu sebagai sesuatu yang menarik, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya sanggup mengenakan kostum watak sepadan.

Berkongsi lanjut kepada SK, Norazhar berkata beliau sebenarnya sudah lama meminati aktiviti cosplay, namun sebelum ini tidak pernah berkesempatan menyertai mana-mana acara.

Bagaimanapun, minat anaknya terhadap dunia cosplay membuka peluang untuk mereka melakukan aktiviti tersebut bersama-sama.

“Sebenarnya saya memang minat cosplay, tapi tak pernah ada kesempatan nak join. Bila anak tunjuk minat, saya ambil peluang untuk join sekali,” katanya.

Menurut Norazhar, terdapat banyak lagi watak daripada siri anime lain yang ingin dicubanya pada masa akan datang.

Namun, buat masa ini, beliau lebih mengutamakan kostum yang boleh dipadankan dengan watak pilihan anaknya supaya mereka dapat terus bercosplay sebagai pasangan.

“Kalau ikut sendiri memang banyak cosplay dari anime lain yang nak cuba. Tapi buat masa ni dulukan matching dengan anak,” ujarnya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Mohd Norazhar menyertai cosplay bersama anaknya di Yume ACG Fest 2026, Johor Bahru.
  • Anaknya tampil sebagai Maomao, manakala Norazhar memilih watak Luomen daripada siri sama.
  • Norazhar berkata beliau mengutamakan kostum sepadan supaya dapat terus bercosplay bersama anaknya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan