Siapa sahaja yang pernah digigit nyamuk pasti tahu betapa sukarnya untuk menahan diri daripada menggaru.
Baru sahaja terasa gatal, tangan sudah mula mencari tempat gigitan.
Lega? Ya, sekejap.
Tetapi selepas itu, rasa gatal seakan-akan datang semula dengan lebih kuat.
Akhirnya, kita menggaru lagi dan lagi sehingga kawasan kulit menjadi merah.
Rupanya, ada sebab saintifik mengapa menggaru gigitan nyamuk boleh membuatkan keadaan semakin tidak selesa.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science pada 2025, perbuatan menggaru boleh mencetuskan satu kitaran yang menyebabkan rasa gatal berpanjangan.
Kenapa gigitan nyamuk boleh terasa sangat gatal?
Apabila nyamuk menggigit, air liurnya memasuki kulit ketika ia menghisap darah.
Tubuh kemudian menganggap bahan tersebut sebagai sesuatu yang perlu diberi tindak balas. Sistem imun akan mengaktifkan sel tertentu, termasuk mast cell, yang seterusnya melepaskan histamin.
Histamin inilah antara bahan yang menyebabkan kawasan gigitan menjadi gatal, bengkak atau kemerahan.
Lagi digaru, lagi gatal?
Mungkin ramai menyedari satu perkara ini: semakin digaru, semakin susah pula rasa gatal itu hendak hilang.
Menurut Profesor Dermatologi dan Imunologi dari Universiti Pittsburgh, Dr Daniel Kaplan, menggaru boleh terus mengaktifkan tindak balas pada kulit.
Kajian yang dilakukan pasukannya mendapati, tindakan menggaru turut merangsang neuron yang mengesan rasa sakit. Neuron itu kemudiannya boleh melepaskan bahan tertentu pada kulit yang mengaktifkan lebih banyak mast cell.
Akibatnya, lebih banyak bahan yang mencetuskan kegatalan boleh dilepaskan.
Di situlah bermulanya 'kitaran gatal-garu', gatal, garu, lega sekejap, kemudian gatal semula.
Malah, kajian tersebut mendapati keadaan kulit boleh pulih lebih cepat apabila subjek kajian dihalang daripada terus menggaru.
Habis tu, kenapa menggaru rasa sedap?
Ini mungkin bahagian yang paling sukar untuk dinafikan.
Apabila kita menggaru, kuku menghasilkan sedikit rasa sakit pada kulit. Isyarat sakit itu boleh 'mengganggu' atau mengambil perhatian sistem saraf daripada rasa gatal buat sementara waktu.
Sebab itulah kita terasa lega.
Namun, kelegaan itu hanya sementara. Menggaru terlalu kuat atau terlalu kerap boleh merosakkan lapisan pelindung kulit, menyebabkan keradangan dan meningkatkan risiko jangkitan.
Jadi, apa yang patut dilakukan apabila gigitan nyamuk mula membuatkan tangan terasa 'gatal' hendak menggaru?
5 cara bantu legakan gigitan nyamuk tanpa menggaru
1. Cuba tahan daripada menggaru
Memang mudah cakap, tetapi cubalah alihkan perhatian tangan daripada kawasan yang gatal.
Menurut Dr Kaplan, berjaya menahan diri daripada menggaru walaupun untuk beberapa minit boleh membantu memutuskan kitaran gatal dan garu.
2. Gunakan tuam sejuk atau ais
Balut ais dengan kain atau tuala sebelum meletakkannya pada kawasan gigitan.
Rasa sejuk boleh membantu mengurangkan kegatalan dengan memberikan rangsangan lain kepada saraf, selain berpotensi mengurangkan keradangan.
Namun, jangan letakkan ais terlalu lama secara berterusan dan elakkan menyentuh ais secara terus pada kulit.
3. Pertimbangkan ubat antihistamin
Oleh kerana histamin memainkan peranan dalam menyebabkan kegatalan, ubat antihistamin boleh membantu sesetengah individu mengurangkan simptom.
Bagaimanapun, dapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor terlebih dahulu, terutama sebelum mengambil sebarang ubat.
4. Gunakan produk yang memberi sensasi sejuk
Sesetengah krim atau losen yang mengandungi bahan seperti menthol boleh memberikan sensasi sejuk pada kulit.
Rangsangan itu boleh membantu mengalihkan perhatian saraf daripada rasa gatal dan mengurangkan keinginan untuk menggaru.
Pastikan produk yang digunakan sesuai untuk kulit dan ikut arahan pada label.
5. Jangan terus buat tanda 'X' dengan kuku
Ada satu petua lama yang mungkin pernah anda cuba, tekan kuku pada kawasan gigitan sehingga membentuk tanda 'X'.
Tekanan itu mungkin memberi sedikit rasa lega kerana rasa sakit boleh mengatasi isyarat gatal buat sementara waktu.
Namun, ia bukan pilihan terbaik kerana tekanan atau kuku yang terlalu kuat tetap boleh mencederakan kulit.
Kesimpulannya, apabila gigitan nyamuk mula terasa gatal, cuba jangan terus menyerah kepada kuku. Rasa lega selepas menggaru mungkin hanya sementara, sedangkan kulit boleh mengambil masa lebih lama untuk pulih.
Kadangkala, cara paling mudah untuk menghentikan kegatalan bukanlah dengan menggaru lebih kuat, sebaliknya dengan menipu sedikit sistem saraf kita menggunakan sensasi lain seperti sejuk.

