Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

GKMM Mohon Kuota 300 liter RON95 Untuk Pengamal Media

Adib Haiqal
Kuota 300 liter RON95
Kredit: Bernama

GKMM Mohon Kuota 300 liter RON95 Untuk Pengamal Media

Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan pengecualian khas bagi mengekalkan kuota petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan kepada pengamal media berdaftar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, GKMM menyatakan bahawa mereka memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan sehingga kini kesan daripada ketegangan di Asia Barat.

GKMM turut menyambut baik usaha dan komitmen kerajaan dalam meneruskan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat Malaysia, terutama menerusi kuota 200 liter di bawah BUDI RON95, RM2.15 seliter bagi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, di samping bantuan menerusi BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.

Namun, keputusan kerajaan mengehadkan kuota BUDI RON95 kepada 200 liter sebulan berbanding kuota sebelum ini sebanyak 300 liter, telah mula memberi cabaran besar buat pengamal media dalam menyempurnakan tugasnya di lapangan.

"GKMM menerima banyak keluhan daripada pengamal media, khususnya yang bertugas di negeri-negeri, yang perlu menempuh jarak perjalanan jauh serta perlu berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari. Menyebabkan kuota 200 liter yang diterima habis lebih awal sebelum tempoh kuota berakhir pada setiap hujung bulan," menurut kenyataan itu, hari ini.

Justeru, GKMM meminta supaya kerajaan dapat memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta juruvideo, untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 sepertimana dinikmati mereka sebelum ini.

GKMM turut menegaskan bahawa langkah ini akan membantu pengamal media dalam menyempurnakan serta melancarkan kerja-kerja liputan mereka di lapangan, selain meringankan beban ditanggung terutama dalam mendepani situasi kenaikan kos yang cukup mencabar ketika ini.