Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Glasgow 2026: Muhammad Hafizuddin Raih Emas Pada Penampilan Pertama Sukan Komanwel

Muhammad Hafizuddin
Kredit: Bernama

Glasgow 2026: Muhammad Hafizuddin Raih Emas Pada Penampilan Pertama Sukan Komanwel

GLASGOW, 28 Julai (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Muhammad Hafizuddin Roslin menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas muncul juara dalam acara lelaki kategori 88 kilogram (kg) di SEC Armadillo, Scottish Event Campus di sini hari ini.

Kemenangan itu mencipta kenangan manis buat atlet kelahiran Perlis berusia 22 tahun itu pada penampilan pertama di Sukan Komanwel apabila muncul juara dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg, merangkumi 162kg bagi acara snatch dan 183kg bagi clean and jerk, dengan kedua-dua catatan itu turut mencipta rekod baharu temasya.

Juara acara lelaki 81kg Sukan Malaysia 2024 itu menamatkan saingan di hadapan pemenang pingat perak Cameron David McTaggart dari New Zealand yang mencatat jumlah angkatan keseluruhan 338kg manakala Angus Doig dari Scotland meraih pingat gangsa dengan 309kg.

Acara angkat berat kini menyumbang kesemua empat pingat emas Malaysia di Glasgow, selain satu pingat gangsa menerusi Irene Jane Henry dalam kategori wanita 48kg.

Terdahulu, Mohamad Aniq Kasdan muncul juara acara lelaki 60kg, diikuti Muhamad Aznil Bidin (lelaki 65kg) dan Muhammad Erry Hidayat dalam kategori lelaki 79kg.

Kejayaan Muhammad Hafizuddin itu terus mengukuhkan kutipan pingat Malaysia ketika kontinjen negara meneruskan kempen dengan beberapa lagi prospek pingat masih beraksi.


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Muhammad Hafizuddin Roslin memenangi emas acara angkat berat lelaki 88kg di Glasgow 2026.
  • Beliau mencatat jumlah angkatan 345kg, sekali gus mencipta rekod baharu temasya.
  • Angkat berat menyumbang semua empat emas Malaysia, selain satu gangsa menerusi Irene Jane Henry.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan