Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gulung Tikar Selepas 10 Tahun, Luahan Pengasas Bantal DAG Buat Ramai Sebak

pengasas dag
Kredit: TikTok @das.abdul.founder

Gulung Tikar Selepas 10 Tahun, Luahan Pengasas Bantal DAG Buat Ramai Sebak

Siapa yang tidak 'hancur' apabila usaha yang dibina dengan titik peluh, air mata dan pengorbanan selama bertahun-tahun akhirnya terpaksa menemui titik noktah?

Begitulah perasaan yang dilalui oleh pengasas jenama bantal hotel terkenal, Das Abdul Global (DAG®) apabila terpaksa menutup operasi gudang (warehouse) syarikat yang menjadi saksi perjalanan perniagaannya sejak sedekad lalu.

Momen yang cukup menyentuh hati itu dikongsikan sendiri menerusi sebuah video di TikTok yang kini tular di media sosial.

Bukan sekadar berkongsi kisah kejatuhan, malah beliau mengakui keputusan itu merupakan antara detik paling sukar pernah dilaluinya.

"Momen yang saya cuba lupakan, tapi tak mampu nak lupakan..."

Menurutnya, 12 Mei menjadi tarikh yang tidak mungkin dapat dipadam daripada ingatan apabila warehouse Das Abdul Bantal secara rasmi ditutup dan penyerahan kunci dibuat selepas 10 tahun beroperasi.

Lebih menyentuh hati, beliau mengimbau kembali bagaimana semuanya bermula.

Katanya, dia dan isteri memulakan perniagaan dengan menjual bantal dari belakang bonet kereta sambil membawa bersama dua orang anak kecil.

Daripada berniaga secara kecil-kecilan, perniagaan mereka berkembang sehingga mempunyai billboard sendiri, ribuan ejen di seluruh negara dan hampir tiga juta biji bantal berjaya dijual.

Namun siapa sangka, selepas sedekad mencipta nama, semuanya berubah.

"Dah tak ada warehouse, dah tak ada pejabat..."

Beliau mendedahkan buat masa ini operasi syarikat tidak lagi dijalankan seperti dahulu. Warehouse sudah ditutup, pejabat juga sudah tiada.

Sebahagian kakitangan kini bekerja dari rumah, manakala ada yang datang ke kediamannya bagi sama-sama membina semula perniagaan baharu.

Walaupun mengakui masih dalam proses bangkit, beliau tetap bersyukur kerana Allah masih memberikan peluang untuk memulakan semula kehidupan.

"Sebenarnya saya bukan nak meraih simpati, tetapi saya cuma nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang pernah menyokong saya.

"Akak-akak, abang-abang, pak cik, mak cik yang pernah beli bantal, yang pernah jadi ejen saya. Daripada lubuk hati saya, saya nak ucapkan terima kasih.

"Saya juga nak minta maaf jika sepanjang 10 tahun saya berniaga, ada terkasar bahasa, terlupa janji atau banyak lagi perkara yang saya masih terhutang. Saya minta maaf sangat-sangat," katanya dengan nada suara yang bergetar menahan sebak dan mata yang jelas kelihatan kemerahan.

Ada hutang belum selesai, janji belum tertunai

Dalam luahan yang hampir membuatkan ramai sebak, pengasas itu mengakui perkara yang paling menghantui dirinya bukanlah kerana perniagaannya jatuh.

Sebaliknya, beliau lebih sedih memikirkan janji-janji yang masih belum mampu ditunaikan.

Katanya, beliau masih menyimpan hasrat untuk membawa ejen-ejennya menunaikan umrah seperti yang pernah dijanjikan suatu ketika dahulu.

Malah beliau turut mengakui masih mempunyai tanggungjawab yang belum selesai terhadap keluarga, pelanggan dan insan-insan yang sentiasa mempercayainya.

"Saya mohon doa supaya saya mampu menjelaskan segala hutang saya. Sebab hutang saya bukan sekadar dengan bank.

"Saya juga ada hutang dengan ejen-ejen saya dahulu. Saya pernah berjanji nak hantar mereka mengerjakan umrah. Itu memang janji saya, tetapi sampai sekarang saya masih belum mampu tunaikannya. Sebab itu saya rasa hutang saya besar. Saya masih berhutang dengan ramai orang.

"Saya mohon doa agar Allah permudahkan segala urusan saya dan keluarga.

"Sebenarnya saya sedih bukan sebab malu atau tak nak orang tahu saya jatuh dan susah. Bukan.

"Yang buat saya sedih ialah banyak janji yang saya tak mampu tunaikan. Janji kepada anak saya, janji kepada isteri saya, janji kepada ayah dan mak saya, janji kepada ejen-ejen saya, cikgu-cikgu saya, sahabat-sahabat saya dan juga pelanggan-pelanggan saya," tambahnya lagi.

"Bila Allah nak tarik, sekelip mata semuanya boleh hilang..."

Dalam pada berkongsi perjalanan hidupnya, beliau turut menitipkan satu pesanan buat ramai.

"Kadang-kadang bila kita berjaya, kita rasa kita hebat. Kita rasa semua itu datang daripada usaha kita. Tapi sebenarnya, walaupun semua itu kita ada, bila Allah nak tarik, sekelip mata semuanya boleh hilang," katanya.

Namun beliau percaya setiap ujian datang bersama hikmah.

Walaupun perjalanan kali ini jauh lebih mencabar, beliau bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bangkit sekali lagi.

"Jangan biarkan saya meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang..."

Di penghujung video, beliau memohon orang ramai mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.

Lebih menyentuh hati apabila beliau mengakui ketakutan paling besar bukanlah kehilangan perniagaan. Sebaliknya, meninggalkan dunia dalam keadaan masih mempunyai hutang.

Beliau berharap segala hutang dapat diselesaikan agar tidak menjadi beban kepada isteri dan anak-anak selepas pemergiannya nanti.

"Saya cuma mohon satu perkara. Jangan biarkan saya meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang. Dan jangan sampai hutang-hutang saya itu akhirnya menyusahkan isteri dan anak-anak saya.

"Saya mohon... mohon doakan saya," katanya.

Luahan ikhlas itu nyata menyentuh hati ramai yang menonton.

Perkongsian tersebut dihujani ribuan komen daripada netizen yang rata-rata tersentuh melihat keikhlasan pengasas itu mengakui kejatuhannya.

Ramai juga yang mendoakan agar beliau kembali bangkit dan dipermudahkan segala urusan.