Gunung Semeru yang terletak di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang, Jawa Timur, Indonesia, meletus sebanyak tiga kali pada pagi Isnin dengan ketinggian kepulan abu mencecah sehingga 1,000 meter dari puncak.
Gunung Semeru meletus tiga kali
Letusan pertama berlaku pada 4.20 pagi waktu tempatan dengan ketinggian kepulan abu kira-kira 500 meter dari puncak atau 4,176 meter dari aras laut.
“Kepulan abu kelihatan berwarna putih hingga kelabu dengan keamatan tebal menghala ke barat laut. Letusan direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 21 milimeter dan tempoh 128 saat,” kata Petugas Pos Pengamatan Gunung Semeru, Sigit Rian Alfian, dalam laporan bertulis yang diterima di Lumajang pada Isnin.
Gunung tertinggi di Pulau Jawa itu kembali meletus pada 5.53 pagi dengan ketinggian kepulan abu kira-kira 800 meter dari puncak atau 4,476 meter dari aras laut.
Kepulan abu kelihatan berwarna kelabu dengan keamatan tebal menghala ke utara dan barat laut. Letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter dan tempoh 133 saat.
Letusan ketiga berlaku pada 6.28 pagi dengan ketinggian kepulan abu kira-kira 1,000 meter dari puncak atau 4,676 meter dari aras laut.
“Kepulan abu kelihatan berwarna kelabu dengan keamatan tebal menghala ke timur. Letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter dan tempoh 140 saat,” katanya.
Sigit berkata, aktiviti gunung berapi Gunung Semeru kini berada pada Tahap III atau Siaga.
Sehubungan itu, orang ramai tidak disarankan melakukan sebarang aktiviti di luar rumah, terutama di kawasan sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan sehingga 13 kilometer dari puncak yang menjadi pusat letusan.
“Di luar jarak tersebut, orang ramai juga dilarang melakukan aktiviti dalam jarak 500 meter dari tebing sungai atau sempadan sungai di sepanjang Besuk Kobokan kerana kawasan berkenaan berpotensi dilanda peluasan awan panas dan aliran lahar sehingga 17 kilometer dari puncak,” katanya.
Orang ramai juga dilarang melakukan aktiviti dalam lingkungan lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru kerana kawasan itu berisiko terkena lontaran batu pijar.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap potensi awan panas, guguran lava dan lahar di sepanjang aliran sungai atau lembah yang berpunca dari puncak Gunung Semeru.
“Terutamanya sepanjang Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar dan Besuk Sat, selain potensi lahar di sungai-sungai kecil yang merupakan anak sungai Besuk Kobokan,” katanya.

