Gunung Semeru di Lumajang, Jawa Timur dilaporkan meletus sebanyak 29 kali pada Rabu, iaitu dalam tempoh enam jam dari 12 tengah malam hingga 6 pagi waktu tempatan.
Rekod letusan itu berdasarkan laporan bertulis Pos Pemantauan Gunung Semeru.
Selain itu, Gunung Semeru turut merekodkan empat kejadian runtuhan bahan gunung berapi serta empat gegaran harmonik.
Gunung Semeru meletus
Sehingga kini, gunung berapi itu masih berada pada Tahap III, iaitu tahap berjaga-jaga.

“Gunung Semeru mengalami 29 kali letusan dalam tempoh enam jam. Ia masih berada pada tahap berjaga-jaga,” kata petugas pemantauan Gunung Semeru, Liswanto seperti dipetik detikJatim pada Rabu.
Sementara itu, pihak berkuasa menasihatkan penduduk supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam lingkungan 13 kilometer dari puncak gunung berapi itu.
Penduduk juga diminta tidak memasuki kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari kawah di puncak Gunung Semeru.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya aliran piroklastik, runtuhan lava serta aliran lumpur gunung berapi di sepanjang sungai yang berpunca dari kawasan puncak Semeru.

