Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Empat Gunung Berapi Di Indonesia Meletus Pada Hari Sama

Gunung Berapi
Kredit: Antara News

Indonesia sekali lagi berdepan 'amukan' aktiviti gunung berapi apabila sekurang-kurangnya empat gunung dilaporkan meletus pada hari yang sama, hari ini, lapor CNN Indonesia.

Sehingga jam 9 pagi waktu tempatan, empat gunung berapi yang terlibat ialah Gunung Anak Krakatau, Gunung Ibu, Gunung Ili Lewotolok dan Gunung Semeru.

Keempat-empat gunung berapi itu terletak di lokasi berbeza, masing-masing di Selat Sunda, Maluku Utara, Nusa Tenggara Timur dan Jawa Timur.

Anak Krakatau terus aktif sejak Jumaat

Gunung Anak Krakatau dilaporkan mengalami letusan sejak malam Jumaat hingga Ahad.

Malah, abu vulkanik daripada gunung berapi berkenaan dilaporkan telah tersebar dari Bengkulu sehingga ke Jakarta.

Menurut Badan Geologi Kementerian ESDM Indonesia, satu lagi letusan direkodkan pada jam 7.10 pagi Ahad dengan amplitud maksimum 50 milimeter dan tempoh 16 saat.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan, sebaran abu vulkanik terbahagi kepada dua arah.

Sebaran pertama bergerak ke arah timur laut hingga selatan, meliputi sebahagian Jakarta, Banten dan Jawa Barat serta perairan sekitarnya.

Manakala sebaran kedua bergerak ke arah barat daya hingga barat laut, meliputi sebahagian Banten, Lampung, Bengkulu, selatan Selat Sunda serta Lautan Hindi.

Gunung Ibu keluarkan kolum abu setinggi 400 meter

Gunung Ibu di Maluku Utara turut meletus pada awal pagi Ahad.

Letusan yang berlaku sekitar jam 4.55 pagi waktu tempatan itu menghasilkan kolum abu setinggi kira-kira 400 meter dari puncak atau sekitar 1,725 meter dari aras laut.

Kolum abu berwarna kelabu itu dilihat bergerak ke arah timur laut.

Letusan berkenaan direkodkan dengan amplitud maksimum 15 milimeter dan tempoh selama 35 saat.

Gunung Ili Lewotolok

Sementara itu, Gunung Ili Lewotolok di Lembata, Nusa Tenggara Timur dilaporkan mengalami beberapa siri letusan dalam tempoh 48 jam.

Letusan paling kuat direkodkan pada jam 6.41 pagi Ahad apabila kolum abu mencecah kira-kira 600 meter di atas puncak.

Abu berwarna kelabu tebal itu dilihat bergerak ke arah tenggara.

Letusan tersebut direkodkan dengan amplitud maksimum 40 milimeter dan tempoh selama 82 saat.

Gunung Semeru turut meletus

Gunung Semeru di Jawa Timur pula meletus pada jam 7.51 pagi Ahad.

Kolum abu dilaporkan mencecah sekitar 1,000 meter dari puncak, manakala letusan direkodkan dengan amplitud maksimum 23 milimeter dan tempoh 102 saat.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa meminta orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam lingkungan 13 kilometer dari puncak.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berada dalam lingkungan 500 meter dari tebing sungai sepanjang kawasan berkenaan berikutan risiko awan panas dan aliran lahar yang boleh melanda sehingga sejauh 17 kilometer dari puncak.

Walaupun berlaku pada hari yang sama, keempat-empat letusan itu melibatkan gunung berapi yang berada di kawasan berbeza dan dipantau oleh pihak berkuasa Indonesia dari semasa ke semasa.

Intipati
  • Empat gunung berapi Indonesia dilaporkan meletus pada hari sama di lokasi berbeza.
  • Anak Krakatau terus aktif, dengan abu vulkanik dilaporkan tersebar hingga Jakarta.
  • Orang ramai diminta menjauhi kawasan berisiko sekitar Semeru susulan letusan pagi Ahad.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan