Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Boleh Dengar 'Bunyi' Dari Ribuan Kilometer, 10 Letusan Gunung Berapi Paling Mematikan Dalam Sejarah Dunia

Letusan Gunung Berapi
Kredit: History/BBC

Bila sebut tentang gunung berapi, ramai mungkin terbayangkan lava merah yang mengalir keluar dari kawah dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.

Namun hakikatnya, letusan gunung berapi bukan sekadar menghasilkan lava. Dalam beberapa kejadian besar yang pernah direkodkan, letusan gunung berapi mampu memusnahkan bandar, mencetuskan tsunami, mengubah suhu dunia malah menyebabkan puluhan ribu manusia kehilangan nyawa.

Difahamkan, terdapat lebih 1,500 gunung berapi aktif di seluruh dunia dan secara purata, sekurang-kurangnya satu daripadanya meletus setiap minggu.

Persoalannya, antara ribuan gunung berapi ini, letusan manakah yang paling dahsyat pernah direkodkan?

Berikut merupakan 10 antara letusan gunung berapi terbesar dan paling membawa maut yang berlaku dalam tempoh sekitar 200 tahun lalu.

10. Gunung St. Helens, Amerika Syarikat (1980)

Anggaran Kematian: 57 Orang

Pada pagi 18 Mei 1980, Gunung St. Helens meletus dengan satu letupan yang cukup dahsyat.

Sebelum kejadian, gunung berapi itu sebenarnya sudah menunjukkan beberapa tanda luar biasa termasuk siri gempa bumi yang dipercayai berpunca daripada pergerakan magma di bawah permukaan.

Malah, satu bonjolan turut mula terbentuk di bahagian utara gunung berkenaan, memberi petunjuk bahawa letusan besar mungkin bakal berlaku.

Namun, tiada siapa menyangka letupan yang menyusul begitu kuat.

Gelombang letupan dilaporkan bergerak pada kelajuan sehingga 1,080 km/j dan memusnahkan hampir segala-galanya dalam kawasan seluas 600 kilometer persegi hanya dalam tempoh beberapa minit.

Sehingga kini, kejadian itu dianggap sebagai antara letusan gunung berapi paling merosakkan dan membawa maut dalam sejarah Amerika Syarikat.

9. El Chichón, Mexico (1982)

Anggaran Kematian: 1,900 Orang

Sebelum 1982, El Chichón di Chiapas, Mexico dianggap sebagai gunung berapi yang sudah lama tidak aktif.

Ini kerana tiada sebarang letusan direkodkan di situ selama lebih 600 tahun.

Bagaimanapun, semuanya berubah pada 28 Mac 1982 apabila gunung itu tiba-tiba kembali meletus.

Selepas letusan pertama, keadaan kembali tenang selama beberapa hari sehingga menyebabkan sebahagian penduduk yang dipindahkan mula pulang ke kediaman masing-masing.

Namun, rupanya El Chichón belum selesai.

Pada 4 April, satu aliran piroklastik yang terdiri daripada campuran gas panas, abu dan batuan meluncur keluar dari gunung tersebut.

Ramai penduduk di kampung berhampiran terkorban, manakala sejumlah besar sulfur dioksida turut dilepaskan ke atmosfera.

8. Gunung Hudson, Chile (1991)

Tiada Kematian Direkodkan

Gunung Hudson merupakan antara gunung berapi paling aktif di Chile.

Namun, letusannya pada 1991 dianggap sebagai antara letusan paling kuat yang berlaku pada abad ke-20.

Pada kemuncak letusan, serpihan batu dilaporkan tercampak sehingga 18 kilometer ke udara sebelum sebahagiannya jatuh di Kepulauan Falkland, kira-kira 1,000 kilometer dari lokasi gunung berapi tersebut.

Mujurlah, penduduk di kawasan berhampiran sempat dipindahkan selepas tanda awal aktiviti dikesan dan tiada kematian manusia direkodkan.

Bagaimanapun, abu yang menyelubungi kawasan pertanian menyebabkan ribuan haiwan ternakan mati.

7. Quizapu, Chile (1932)

Tiada Kematian Direkodkan

Pada 10 April 1932, gunung berapi Quizapu meletus dengan kuat sehingga menghasilkan awan abu yang sangat besar.

Selain abu, sejumlah besar lava turut dikeluarkan.

Abu daripada letusan itu dibawa angin sehingga ke Argentina dan menyebabkan beberapa kawasan dihujani batuan kecil yang dikenali sebagai lapilli.

Disebabkan lokasi Quizapu agak terpencil, kejadian tersebut tidak menyebabkan kehilangan nyawa manusia.

Namun, tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan gunung berapi musnah dan dikatakan mengambil masa lebih 60 tahun untuk pulih sepenuhnya.

6. Hunga Tonga–Hunga Haʻapai, Tonga (2022)

Anggaran Kematian: Enam Orang

Ramai mungkin masih ingat kejadian letusan gunung berapi bawah laut Hunga Tonga–Hunga Haʻapai pada 15 Januari 2022.

Letusan tersebut sangat kuat sehingga struktur daratan yang kelihatan di atas permukaan laut musnah.

Sebelum itu, gunung berapi tersebut mula muncul selepas beberapa siri letusan pada 2014 dan 2015 yang membentuk dua pulau kecil sebelum kedua-duanya bercantum.

Namun, letusan pada 2022 memusnahkan hampir keseluruhan pulau itu.

Kepulan abu dilaporkan naik sehingga kira-kira 20 kilometer ke udara.

Lebih membimbangkan, letusan tersebut turut mencetuskan tsunami yang bergerak merentasi Lautan Pasifik dan menyebabkan enam kematian.

5. Gunung Pinatubo, Filipina (1991)

Anggaran Kematian: 1,202 Orang

Gunung Pinatubo terletak di Pulau Luzon, Filipina.

Pada pertengahan Jun 1991, gunung tersebut mengalami beberapa siri letusan yang semakin kuat.

Kepulan abu besar mula memenuhi ruang udara, sementara aliran piroklastik dan lumpur panas mengalir ke kawasan berhampiran.

Lembah dipenuhi bahan gunung berapi manakala beberapa bandar dan kampung turut musnah.

Keadaan bertambah buruk apabila Taufan Yunya melanda Filipina ketika aktiviti Gunung Pinatubo sedang memuncak.

Abu gunung berapi bercampur dengan hujan dan angin kencang sebelum tersebar ke kawasan yang lebih luas.

Amaran awal yang pantas dan usaha pemindahan penduduk berjaya menyelamatkan banyak nyawa.

Namun, kesan daripada letusan itu masih dirasai untuk tempoh yang panjang.

4. Santa Maria, Guatemala (1902)

Anggaran Kematian 7,000 Hingga 13,000 Orang

Selepas sekian lama tidak aktif, Gunung Santa Maria tiba-tiba meletus pada 1902.

Sebelum kejadian, beberapa gempa bumi besar sudah berlaku dan dipercayai menjadi petanda awal bahawa sesuatu sedang berlaku di bawah permukaan.

Namun, tanda tersebut tidak begitu diendahkan oleh penduduk ketika itu. Letusan akhirnya berlaku dan berterusan selama 19 hari.

Kepulan abu yang terhasil begitu tebal sehingga kawasan sejauh 160 kilometer dari gunung berapi dilaporkan berada dalam keadaan gelap selama 53 jam.

Lebih mengejutkan, abu daripada letusan tersebut dikatakan sampai sehingga ke San Francisco, Amerika Syarikat, kira-kira 4,000 kilometer jauhnya.

3. Krakatau, Indonesia (1883)

Anggaran Kematian: 36,000 Orang

Kalau sebut tentang letusan gunung berapi paling terkenal dalam sejarah, nama Krakatau pasti berada dalam senarai.

Pada 1883, beberapa siri letupan sangat kuat berlaku di Krakatau.

Aliran piroklastik yang terhasil dipercayai bergerak merentasi Selat Sunda pada kelajuan sekitar 100 km/j dan membunuh sesiapa sahaja yang berada dalam laluannya.

Setiap letupan turut mencetuskan gelombang tsunami besar.

Salah satu letupan pula dipercayai menghasilkan antara bunyi paling kuat pernah direkodkan dalam sejarah.

Malah, bunyinya dikatakan dapat didengari sehingga ke Perth, Australia yang terletak lebih 3,000 kilometer dari Krakatau.

Abu yang dilepaskan ke atmosfera pula cukup tebal sehingga menghalang cahaya matahari dan dikaitkan dengan penurunan suhu global untuk beberapa tahun selepas kejadian.

2. Novarupta, Alaska (1912)

Tiada Kematian Direkodkan

Mungkin nama Novarupta tidak begitu dikenali berbanding Krakatau atau Tambora.

Namun, letusannya pada 1912 merupakan letusan gunung berapi terbesar pada abad ke-20.

Dalam tempoh hanya tiga hari, gunung berapi itu mengeluarkan bahan letusan kira-kira 30 kali lebih banyak berbanding Gunung St. Helens pada 1980.

Aliran piroklastik yang besar memenuhi kawasan pergunungan berhampiran sehingga membentuk satu kawasan yang dikenali sebagai Valley of Ten Thousand Smokes.

Menariknya, tiada kematian manusia direkodkan.

Namun, hidupan liar terutama populasi burung terjejas teruk akibat kejadian tersebut.

Kawasan itu kemudiannya menjadi antara lokasi penting dalam kajian gunung berapi dan aliran piroklastik.

1. Gunung Tambora, Indonesia (1815)

Anggaran Kematian: 71,000 Orang

Di tempat pertama ialah Gunung Tambora yang terletak di Pulau Sumbawa, Indonesia.

Letusannya pada 1815 dianggap sebagai letusan gunung berapi terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah manusia.

Sebelum kejadian, Tambora dikatakan tidak aktif selama berabad-abad.

Namun pada 5 April 1815, siri letusan besar mula berlaku. Berton-ton abu dilepaskan ke udara manakala batu-batu besar jatuh ke kawasan sekitar.

Kuasa letusan juga menghasilkan angin kencang yang memusnahkan kampung berhampiran. Aktiviti tersebut dikatakan berlarutan selama beberapa bulan.

Letusan yang terlalu kuat itu turut menyebabkan ketinggian Gunung Tambora berkurangan kira-kira satu pertiga.

Tetapi kesannya bukan hanya dirasai di Indonesia. Jumlah abu dan gas yang sangat banyak dilepaskan ke atmosfera sehingga menghalang sebahagian cahaya matahari.

Kesannya, suhu global menurun dan tahun 1816 kemudiannya dikenali sebagai “Tahun Tanpa Musim Panas”.

Tanaman gagal, bekalan makanan berkurangan dan kebuluran berlaku di beberapa bahagian dunia.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 71,000 kematian dipercayai berkait dengan letusan Tambora dan kesan selepasnya.

Intipati
  • Gunung Tambora mendahului senarai dengan sekurang-kurangnya 71,000 kematian dipercayai berkait letusannya.
  • Krakatau, Pinatubo dan Santa Maria antara letusan besar yang menyebabkan ribuan kematian manusia.
  • Beberapa letusan seperti Novarupta, Quizapu dan Gunung Hudson tidak merekodkan kematian manusia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan