Tanggungjawab seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut membimbing setiap murid agar mampu mengenali dan mengembangkan potensi diri.
Begitu juga bagi guru yang mendidik murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), yang memerlukan pendekatan dan perhatian berbeza mengikut kemampuan masing-masing.
Walaupun ada yang menganggap murid PPKI mempunyai keterbatasan dalam pembelajaran, hakikatnya mereka juga mempunyai potensi tersendiri yang mungkin tidak disangka.
Dengan bimbingan yang tepat, kesabaran dan peluang untuk mencuba, mereka mampu menunjukkan kebolehan dalam pelbagai bidang.
Bagi guru, setiap perkembangan murid PPKI, sekecil mana pun, merupakan satu pencapaian yang bermakna.
Justeru, peranan mereka bukan hanya mengajar, tetapi membantu murid membina keyakinan, berdikari dan membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk mereka mencapai sesuatu dalam kehidupan.
Suntingan ala-ala Transformers
Baru-baru ini, klip video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Threads, @hazeem_azemi, mencuri perhatian ramai apabila memaparkan kreativiti seorang guru dalam membimbing anak murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Menerusi perkongsian tersebut, Cikgu Hazeem berkongsi keyakinannya terhadap potensi murid PPKI yang sering dipandang sebelah mata, termasuk anggapan bahawa mereka tidak mempunyai masa depan atau tidak mampu melakukan perkara seperti murid lain.

“Ahhhh cikgu tak perlu beria lah nak mengajar murid pendidikan khas, tu budak-budak OKU.
“Budak-budak PPKI ni mana ada masa depan pun.
“Saya sentiasa yakin, Allah mencipta dan menyempurnakan. Di sebalik kekurangan mereka, pastinya ada kelebihan,” katanya.
Lebih menarik perhatian, Cikgu Hazeem membimbing anak muridnya menghasilkan sebuah video kreatif yang memaparkan setiap komponen pada sebuah jet bergerak dan bercantum secara berperingkat sehingga membentuk sebuah robot.
Dalam perkongsian itu, Cikgu Hazeem dilihat mengawal kedudukan serta pergerakan pelajarnya ketika proses rakaman dilakukan di kawasan luar bagi mendapatkan sudut dan pergerakan yang sesuai.
Apa yang lebih mengagumkan, keseluruhan proses suntingan dilakukan sendiri oleh pelajar berkenaan.


Setiap bahagian jet disusun dan disunting dengan teliti sehingga menghasilkan visual ala-ala Transformers, apabila komponen-komponen berkenaan kelihatan seolah-olah bergerak sendiri sebelum bercantum membentuk sebuah robot.
Hasil akhir video tersebut ternyata memperlihatkan kreativiti dan kemahiran teknikal pelajar berkenaan, sekali gus menunjukkan bahawa murid PPKI juga mampu menghasilkan karya yang mengagumkan apabila diberikan peluang, bimbingan dan kepercayaan.
Bas DRB-HICOM University bertukar jadi robot
Sebelum ini, turut tular di Threads sebuah video yang memaparkan Cikgu Hazeem membimbing pelajar yang sama menghasilkan satu lagi karya kreatif, kali ini menggunakan bas DRB-HICOM University sebagai subjek utama.

Dalam video tersebut, bas berkenaan digambarkan seolah-olah bertukar menjadi robot sebelum berubah pula menjadi sebuah kapal terbang, dengan hasil visual yang cukup menarik dan kemas.



Lebih mengagumkan, bukan sahaja proses suntingan dilakukan oleh pelajar PPKI berkenaan, malah teknik penggambaran termasuk pemilihan sudut atau angle shot untuk mendapatkan visual yang menarik turut dirakam sendiri olehnya.
Reaksi Netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum melihat hasil karya pelajar PPKI berkenaan, malah ada yang menyifatkan kreativiti dan kemahiran suntingannya sebagai sesuatu yang luar biasa.
Tidak kurang juga yang memuji usaha Cikgu Hazeem kerana memberikan ruang kepada pelajarnya untuk mencuba, berkarya dan mengetengahkan kebolehan masing-masing.
“Terima kasih cikgu, mengajar anak PPKI dengan penuh sabar dan dedikasi. Anak saya juga seorang murid PPKI mild autism,” komen seorang netizen.
“Sebenarnya budak PPKI ni lagi pandai kalau kita tahu dan asah bakat dia,” tulis seorang lagi.
“Perghhh, Transformer tuuuu macam-macam bentuk. Cayalah! Kreatif budak-budak PPKI ni. Tahniah adik-adik semua. Membentuk sahsiah diri dalam berkarya, yakinkan diri. Insya-Allah kamu semua boleh,” komen seorang pengguna.

