Kadang-kadang, perkara yang kita sanggup lakukan demi mendapatkan sesuatu yang diinginkan boleh membawa kepada pengalaman yang langsung tidak pernah disangka.
Bagi peminat durian, musim buah gugur pastinya menjadi waktu yang dinanti-nantikan, apatah lagi apabila dapat menikmati buah yang baru sahaja jatuh dari pokok.
Namun, di sebalik keenakan durian, ada yang sanggup berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mendapatkan buah pilihan.
Bermalam di kebun, menahan mengantuk dan menunggu buah gugur satu persatu menjadi sebahagian daripada perjuangan ketika musim durian.
Dalam suasana kebun yang sunyi pada waktu malam, kadangkala perkara yang tidak disangka-sangka boleh berlaku.
Apa yang bermula sebagai usaha biasa untuk menunggu durian gugur akhirnya boleh menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Menunggu durian Black Thorn gugur
Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Threads, @schasallehys, mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman bermalam di kebun durian bersama adik-beradiknya semata-mata mahu menunggu buah Black Thorn gugur.
Namun, menunggu durian pada waktu malam bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berdepan suasana kebun yang sunyi dan gelap.

Lebih mencuri perhatian, dia turut berkongsi bahawa sepanjang perjuangan menunggu Black Thorn gugur itu, dirinya ditemani kelibat yang didakwa seperti pocong.
Apa yang pada awalnya hanya misi mendapatkan durian akhirnya bertukar menjadi pengalaman yang pastinya sukar dilupakan.
Ditemani pocong
Menyentuh mengenai pengalaman tersebut, wanita berkenaan dilihat kekal tenang meskipun terpaksa bermalam di kebun durian dalam suasana yang sunyi dan gelap.
Malah, sepanjang berada di situ, dia sempat membakar ayam sambil menikmati durian Black Thorn yang gugur, seolah-olah kehadiran 'teman' misteri itu langsung tidak menjejaskan seleranya.



“Perjuangan tidur dekat kebun durian sambil menunggu Black Thorn jatuh ditemani dengan seketul pocong. Thank you temankan,” katanya.
Sikap selamba wanita berkenaan pastinya membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana dia mampu kekal tenang menikmati malam di kebun, walaupun mendakwa ditemani pocong yang mungkin sudah cukup membuatkan orang lain memilih untuk angkat kaki.
Reaksi netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengakui seram dan meremang melihat gambar yang dikongsikan wanita tersebut, lebih-lebih lagi apabila terdapat kelibat misteri yang didakwa seperti pocong.
Bagaimanapun, ada juga yang sempat berseloroh bahawa durian Black Thorn yang kelihatan begitu menyelerakan membuatkan 'pocong' berkenaan seolah-olah kurang menakutkan.
Malah, ada yang menganggap kelibat tersebut mungkin turut menunggu durian gugur untuk sama-sama menikmati buah berkenaan.
“Wei, scary lah wei. Cukup dulu kena tindih dengan dia,” komen seorang netizen.
“First time tengok pocong tak takut sangat sebab durian lagi mengancam,” komen seorang lagi.
“Dia pun tunggu durian kot, kak. Bagilah seulas dua, haa. Kesian sampai memanjat tunggu buahnya,” seloroh seorang lagi.

