Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hamzah Kekal Ketua Pembangkang, Tiada Notis Dihantar Kepada Speaker - Takiyuddin
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Blok Pembangkang hari ini mengesahkan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata setakat ini tiada sebarang perubahan berhubung peranan Hamzah susulan pemecatan beliau daripada Bersatu.
Sehubungan itu, Takiyuddin berkata tiada pemakluman akan dihantar kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung perkara itu.
“Setakat ini, kedudukannya (Hamzah sebagai Ketua Pembangkang) begitu (kekal)… jadi tidak ada apa-apa perubahan, kita hanya ada dua hari (baki) sidang (Dewan Rakyat bagi mesyuarat kali ini). Kami tidak bercadang membuat sebarang perubahan setakat ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Status Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu sebagai Ketua Pembangkang menjadi persoalan sebelum ini susulan pemecatan beliau akibat konflik dalaman parti berkenaan.
Selain Hamzah, tiga Ahli Parlimen Bersatu yang turut dipecat ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Pada Selasa, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sebarang keputusan berkenaan peranan serta kedudukan Hamzah hanya boleh dibuat selepas menerima pengesahan secara bertulis daripada pembangkang.