Murid Umur 6 Tahun Lulus Saringan Diagnostik
Kredit: Bernama

Hanya Murid Umur 6 Tahun Lulus Saringan Diagnostik Dianggap Bersedia Masuk Tahun 1 - Fadhlina

Iqbal Yasir

Hanya Murid Umur 6 Tahun Lulus Saringan Diagnostik Dianggap Bersedia Masuk Tahun 1 - Fadhlina

PUTRAJAYA -- Ujian saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan digunakan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan pada hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan kemasukan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun oleh ibu bapa adalah secara sukarela dan bukan diwajibkan.

Ia antara prakarsa yang diumumkan YAB Perdana Menteri sewaktu meluncurkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

"Inisiatif ini bukan baru. Ia telah dilaksanakan di banyak negara bagi membolehkan anak-anak menyertai sektor pekerjaan pada usia lebih muda sekaligus menangani isu yang terkait dengan negara menua (ageing nation).

"Walaupun begitu, inisiatif ini tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru.

"KPM memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak yang bersedia mengikuti persekolahan peringkat rendah lebih awal.

"Kesediaan anak-anak merujuk kepada keputusan saringan diagnostik yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata struktur persekolahan bagi anak-anak yang memulakan persekolahan Tahun 1 pada umur enam tahun tidak berubah.

Ini kerana struktur pendidikan rendah sedia ada adalah selama enam tahun. Seterusnya, pendidikan peringkat menengah selama lima tahun dan tamat peringkat menengah atas pada umur 16 tahun.

"KPM sedang menambah kelas prasekolah di seluruh negara. Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar. Keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif," katanya lagi.

Ringkasan AI
  • KPM guna saringan diagnostik tentukan kelayakan murid enam tahun masuk Tahun 1 mulai 2027.
  • Penyertaan murid enam tahun adalah sukarela; hanya yang lulus saringan dianggap bersedia.
  • Struktur sekolah kekal; KPM tambah prasekolah, bilik darjah, prasarana dan tangani keperluan guru.