Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jerebu: Murid Asrama Disarankan Kekal Di Asrama Sepanjang Tempoh Penutupan Sekolah - Fadhlina

Murid asrama
Kredit: Bernama

Murid yang tinggal di asrama disarankan supaya terus berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.

Murid asrama disarankan kekal di asrama

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali susulan penutupan sekolah.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini ketika mengulas pandangan ibu bapa berhubung keputusan penutupan sekolah akibat jerebu yang diumumkan dari hari ke hari.

Menurut Fadhlina, beliau memahami keresahan ibu bapa yang mencadangkan supaya sekolah ditutup terus selama beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga.

Sehubungan itu, beliau telah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa keputusan penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan memandangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh berubah mengikut masa dan lokasi.

Pengurusan jerebu turut melibatkan tanggungjawab beberapa agensi, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa.

Fadhlina berkata, pengalaman ketika pandemik COVID-19 turut mengajar bahawa gangguan persekolahan memberi kesan besar terhadap pembelajaran anak-anak.

Menurutnya, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan sehingga kini. Masa pembelajaran yang hilang juga bukan mudah untuk diganti, lebih-lebih lagi apabila kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak sama bagi setiap murid.

Beliau memaklumkan bahawa KPM akan terus memantau keadaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran mereka sepanjang berdepan situasi jerebu.

Intipati
  • Murid asrama disaran kekal di asrama jika keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.
  • Fadhlina berkata keputusan penutupan sekolah mengambil kira bacaan IPU semasa mengikut lokasi.
  • KPM akan memantau keadaan melalui JPN dan PPD serta memperbaiki penyampaian maklumat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan