Harga diesel tanpa subsidi meningkat sebanyak 20 sen kepada RM5.27 seliter berbanding RM5.07 bagi tempoh 29 Oktober hingga 4 November.
Harga petrol RON95 dan RON97 tanpa subsidi turut mencatat kenaikan masing-masing sebanyak 10 sen kepada RM4.42 dan RM4.90 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, kenaikan itu berlaku susulan peningkatan harga minyak mentah Brent pada minggu lalu berikutan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan di Asia Barat.
Bagaimanapun, harga minyak mentah berkenaan dilaporkan menyederhana sedikit menjelang penghujung tempoh pengiraan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Di pasaran serantau, harga diesel bertapis di Singapura turut meningkat, manakala pergerakan harga petrol lebih bercampur,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut MOF, stok bagi produk petroleum tertentu di Singapura turut berkurangan, namun bekalan dari Asia Timur Laut dijangka kekal stabil.
Dalam pada itu, perkembangan konflik di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan, terus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran bekalan petroleum global.
Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka kekal tidak menentu dalam jangka sederhana.
Sementara itu, MOF berkata kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan pasaran global menerusi pelaksanaan subsidi bersasar, termasuk inisiatif BUDI MADANI.
Menurut kenyataan itu, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) masih menikmati harga petrol pada kadar RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.42 seliter.
Perbezaan itu menyaksikan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.43 bagi setiap liter, bersamaan 55 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, harga diesel kekal pada RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.27 seliter.
Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM3.17 seliter, iaitu kira-kira 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.

