Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Harga Petrol & Diesel Tanpa Subsidi Naik Mulai Esok

harga petrol
Kredit: Bernama

Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 25 sen bagi tempoh 10 hingga 16 September ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga RON97 ditetapkan pada RM4.50 seliter berbanding RM4.25 seliter, RON95 tanpa subsidi pada harga RM4.02 seliter berbanding RM3.77.

Manakala diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.92 seliter berbanding RM4.67 sebelum ini.

Harga petrol & diesel tanpa subsidi naik

MOF berkata harga terbaru itu ditetapkan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Selain itu, ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

Menurut kementerian itu, keadaan tersebut dipengaruhi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.

“Harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum mencecah AS$97.31 setong pada Isnin. Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan berbalas yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran.

“Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat. Gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia telah mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.

“Harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut,” maklum MOF.

Menurut kementerian itu lagi, selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.

Sekiranya keadaan itu berpanjangan, penyusutan inventori serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat berpotensi meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia.

Harga BUDI95 kekal RM1.99 seliter

Dalam pada itu, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

“Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.02 seliter.

“Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 seliter, bersamaan 50% daripada harga tanpa subsidi.

“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM2.82 seliter, atau 57% daripada harga tanpa subsidi,” katanya.

Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula RM2.15 seliter.

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Kuota BUDI95 & Diesel Naik Kepada 300 Liter

Mulai 1 September 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel turut dinaikkan semula kepada 300 liter.

Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak pula menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Intipati
  • Harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi naik 25 sen.
  • MOF berkata kenaikan mengikut formula APM, seiring harga minyak mentah dunia.
  • Penerima BUDI95 kekal membayar RM1.99 seliter, manakala BUDI Diesel RM2.10 seliter.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan