Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penetapan tarikh Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) di N.66 Bugaya, Sabah adalah pada 5 November 2022 (Sabtu).
Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata bahawa pada hari tersebut, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) oleh pihak tertentu.
“Antara individu yang dibenarkan menghantar kertas cadangan tersebut termasuk calon, pencadang dan penyokong atau mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka,” katanya.
Tambahnya, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon bertanding di kawasan tersebut agar mengisi borang dan membuat semakan di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara sebelum tarikh penamaan calon.
Selain itu, pembayaran deposit juga disarankan lebih awal oleh bakal-bakal calon dan resit pembayaran pula hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran.
Hal ini bertujuan bagi memastikan semua proses pilihan raya dapat diselesaikan dengan lebih awal dan berjalan dengan lebih lancar.
“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” jelas Ikmal lagi.
Sementara itu, hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja yang dibenarkan masuk ke PPC pada Hari Penamaan Calon.
Manakala orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.
“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” maklumnya.
Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari tersebut.