Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bersempena sambutan Hari Bapa yang bakal tiba, Harith Zazman dan Yonnyboii bergabung buat julung kalinya menerusi single baharu berjudul “Sempurna”, sebuah karya yang meraikan kasih sayang, penerimaan dan penghargaan terhadap insan yang melengkapkan kehidupan.
Ditulis oleh Harith Zazman, Yonnyboii dan Justin Seow, yang turut bertindak sebagai penerbit, “Sempurna” lahir daripada pengalaman sebenar kedua-dua penyanyi yang kini menjalani kehidupan sebagai suami dan bapa. Dengan sentuhan pop yang menyentuh emosi, lagu ini mengangkat mesej bahawa kesempurnaan tidak hadir daripada persamaan, tetapi daripada kemampuan untuk menerima dan menghargai perbezaan antara satu sama lain.

Menurut Harith Zazman, inspirasi utama lagu ini datang daripada kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga. “Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan yang bertentangan tentang sesuatu perkara. Tetapi perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar ‘sempurna’,” jelas Harith.
Tambahnya lagi, lagu ini merupakan antara karya paling peribadi yang pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni. “Ini mungkin lagu yang paling matang dan paling emosional pernah saya tulis. Saya menangis ketika menulis lagu ini kerana ia sangat dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri. Saya juga tidak sabar untuk berkongsi mesej lagu ini dengan semua orang,” katanya.

Kolaborasi bersama Yonnyboii pula tercetus secara spontan. Harith yang sememangnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan sahabatnya itu merasakan Yonnyboii adalah individu paling sesuai untuk menyampaikan mesej lagu tersebut. “Saya dan Yonny mungkin tidak selalu berjumpa, tetapi kami sering berhubung dan saling menyokong antara satu sama lain. Apabila lagu ini siap dalam bentuk demo, saya terus terfikir tentang Yonny. Sebagai seorang suami dan bapa, dia sangat memahami emosi dan perjalanan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini,” ujar Harith.
Bagi Yonnyboii, “Sempurna” merupakan sebuah dedikasi khas buat isteri dan anak lelakinya yang menjadi sumber kekuatan dalam kehidupannya. “Dalam lagu ini, saya cuba menyampaikan kepada isteri dan anak saya bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Mereka membuatkan hidup saya terasa lengkap dan sempurna,” katanya.

Menariknya, proses rakaman lagu ini turut menyimpan kenangan istimewa apabila Yonnyboii ditemani anaknya, Kyro, sepanjang sesi rakaman dijalankan. Menurut Harith, momen tersebut menjadikan lagu ini lebih bermakna kerana ia menggambarkan realiti kehidupan mereka sebagai seorang bapa. “Ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonny sedang mendukung anaknya. Malah, ada suara bayi yang turut kedengaran dalam rakaman asal lagu ini. Bagi saya, perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” katanya.
Walaupun membawa tema yang lebih matang, Yonnyboii percaya identiti muziknya tetap dapat dirasai dalam lagu ini. “Saya rasa setiap artis ada identiti tersendiri. Walaupun cerita yang saya kongsi hari ini lebih banyak berkisar tentang keluarga kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, identiti Yonnyboii tetap sama. Lagu ini cuma menunjukkan sisi saya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai orang-orang yang saya sayang,” jelasnya.

Apabila diminta menggambarkan “Sempurna” dalam tiga perkataan, Yonnyboii memilih “Yayo, Nina, Kita” merujuk kepada keluarga kecilnya yang menjadi inspirasi utama di sebalik lagu tersebut. Dilancarkan menjelang Hari Bapa, “Sempurna” hadir sebagai sebuah karya yang mengingatkan pendengar untuk menghargai perkara-perkara kecil dalam hubungan, menerima perbezaan yang wujud dalam setiap insan, serta meraikan keluarga yang sentiasa menjadi tempat pulang.
Melalui lagu ini, Harith Zazman dan Yonnyboii berharap para pendengar dapat melihat bahawa kesempurnaan bukanlah tentang mencari seseorang yang sama seperti kita, tetapi tentang menghargai insan yang sentiasa bersama-sama melalui setiap fasa kehidupan.
“Sempurna” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital pada 19 Jun 2026.