Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Harvard University akan menjalinkan kerjasama dengan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) menerusi Program for Scientifically-Inspired Leadership (PSIL) bermula Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, program itu bakal melibatkan seramai 100 pelajar terpilih dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2.
Menurut beliau, program tersebut memberi penekanan kepada pembelajaran aktif, pemikiran kritis, komunikasi berkesan serta pembangunan kepimpinan.
Katanya, manfaat program itu turut diperluaskan kepada 40 guru SRBJ melalui bengkel pedagogi pembelajaran aktif.
“Langkah ini bagi memperkukuhkan kaedah pengajaran yang lebih interaktif, kreatif dan berkesan dalam memastikan suasana pembelajaran terbaik kepada anak-anak Johor,” katanya dalam satu kenyataan semalam di Facebook.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris menerima mengadap delegasi Harvard University yang diketuai oleh Dr Dominic Mao dan Dr Andrea Wright.
Delegasi tersebut terdiri daripada Penolong Pengarah Pengajian Prasiswazah serta pensyarah Biologi Molekul dan Sel, Dr Dominic Mao, selain Penolong Dekan Kolej Harvard dan pensyarah Antropologi, Dr Andrea Wright.
Aznan berkata, pertemuan tersebut membuktikan komitmen serta pandangan jauh Tunku Mahkota Ismail dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri melalui jaringan strategik bersama institusi bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, kerjasama itu sekali gus membuka peluang lebih luas kepada anak-anak Johor untuk mendapat pendedahan kepada budaya pembelajaran global.
Beliau berkata, Kerajaan Johor kekal komited untuk terus memperkasa dan meningkatkan kualiti pendidikan negeri.
Tambahnya, langkah tersebut selari dengan aspirasi Tunku Mahkota Ismail untuk melahirkan generasi Bangsa Johor yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keyakinan, kemahiran kepimpinan dan daya saing di peringkat global.