Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hilang Ketika Mendaki 15 Tahun Lalu, Lelaki Ditemui Tinggal Rangka

RANGKA
Kredit: Patrick J. Endres

Hilang Ketika Mendaki 15 Tahun Lalu, Lelaki Ditemui Tinggal Rangka

Seorang pendaki berpengalaman yang dilaporkan hilang ketika menjelajah kawasan terpencil Grand Canyon di Amerika Syarikat (AS) akhirnya ditemui, namun dalam keadaan yang tidak disangka apabila rangka miliknya dikenal pasti hampir 15 tahun selepas kehilangannya.

Menurut People, pihak berkuasa Arizona mengesahkan bahawa rangka manusia yang ditemukan pada Disember tahun lalu adalah milik William Anthony Ott, 65, yang dilaporkan hilang pada Mei 2012 ketika melakukan pendakian secara bersendirian di Grand Canyon.

Pejabat Sheriff Daerah Coconino dalam satu kenyataan memaklumkan, Ott gagal pulang selepas menamatkan pendakian selama tiga minggu yang dirancang di kawasan terpencil Hualapai Indian Reservation.

Susulan kehilangan itu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai agensi termasuk Perkhidmatan Taman Negara (National Park Service) dan Jabatan Keselamatan Awam Arizona dilancarkan, namun gagal menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaannya.

Menurut laporan itu lagi, anggota Hualapai Tribe menemukan rangka manusia berhampiran lokasi pencarian asal pada Disember tahun lalu sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Hasil analisis DNA yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Awam Arizona kemudian mengesahkan identiti rangka tersebut sebagai William Ott.

Berdasarkan rekod National Missing and Unidentified Persons System (NamUs), Ott memulakan pendakiannya pada 5 April 2012 dan dijadualkan menamatkan ekspedisi pada 28 April tahun sama.

Bagaimanapun, dia tidak pernah kembali seperti yang dirancang sebelum dilaporkan hilang 12 hari kemudian.

Menurut People, rakan Ott, Scott Thybony, yang turut menyertai operasi mencari ketika itu menyifatkan mangsa sebagai seorang pendaki yang sangat berpengalaman.

Beliau berkata, Ott pernah mencipta rekod peribadi apabila berjalan merentasi Grand Canyon selama 78 hari pada tahun 1981, sekali gus menjadi individu pertama menamatkan laluan di bahagian utara kawasan tersebut.

Thybony berkata, Ott amat meminati pencarian lukisan batu purba berusia ribuan tahun yang terdapat di kawasan terpencil Grand Canyon.

"Beberapa kali Ott datang ke pejabat saya untuk berkongsi minatnya terhadap lukisan batu purba yang dihasilkan ribuan tahun dahulu. Lukisan berwarna-warni itu benar-benar memikat hatinya, lebih-lebih lagi kerana lokasinya sukar ditemui dan lebih sukar untuk diakses," katanya.

Tambah Thybony, sebelum kehilangannya, Ott menjalani kehidupan serba sederhana di luar bandar selepas menjual hampir semua harta miliknya dan membina sendiri sebuah kabin di Cave Junction, Oregon.

Menurutnya, Ott akan kembali ke Arizona hampir setiap tahun bagi meneruskan minatnya mendaki Grand Canyon dan mencari tinggalan seni batu purba.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengumumkan punca kematian mangsa.

Bagaimanapun, Thybony memberitahu People bahawa mayat rakannya ditemukan di kaki tebing setinggi kira-kira 15 kaki, manakala beg galas utama yang dibawanya masih belum ditemui.

Sumber:people.com
Intipati
  • Rangka William Anthony Ott dikenal pasti hampir 15 tahun selepas dilaporkan hilang di Grand Canyon.
  • Ott memulakan pendakian bersendirian pada April 2012 dan gagal pulang seperti dijadualkan.
  • Pihak berkuasa belum mengumumkan punca kematian, manakala beg galas utamanya belum ditemui.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan