Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan selepas menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, Anwar berkata, kejayaan yang dilakar atlet berusia 24 tahun itu merupakan satu pencapaian membanggakan buat negara dan diharap mampu menyuntik semangat kepada atlet Malaysia yang masih beraksi di temasya berkenaan.
"Tahniah Mohamad Aniq atas kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia di Glasgow.
"Seluruh negara berbangga dengan kejayaan saudara mengharumkan nama Malaysia.
"Semoga detik bermakna ini membakar semangat atlet kita di Sukan Komanwel untuk terus memburu kejayaan dan membawa pulang lebih banyak pingat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjuangan kalian," katanya.
Terdahulu, Mohamad Aniq mencipta sejarah apabila muncul juara acara angkat berat kategori 60 kilogram (kg) lelaki selepas merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 273kg pada aksi final yang berlangsung hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu turut disertai dengan pemecahan dua rekod Sukan Komanwel menerusi angkatan keseluruhan 273kg serta 152kg dalam acara clean & jerk.
Dalam acara snatch pula, Aniq berjaya melakukan angkatan 121kg, sekali gus melengkapkan persembahan cemerlang untuk menghadiahkan emas sulung negara di Glasgow.
Pingat perak dimenangi atlet India, Rishikanta Singh yang mencatat jumlah angkatan 264kg, manakala gangsa menjadi milik Joshua Amunga Mboya dari Kenya dengan catatan 260kg.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan