Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia telah dipilih sebagai pasaran tuan rumah untuk acara promosi pelancongan Greater Bay Area pada tahun ini seiring dengan peningkatan minat rakyat terhadap percutian yang menawarkan pengalaman lebih mendalam dan pelbagai dalam satu perjalanan.
Hong Kong Tourism Board (HKTB) bersama Department of Culture and Tourism of Guangdong Province and Macao Government Tourism Office (MGTO) memperkenalkan Greater Bay Area secara rasmi dalam satu acara makan tengah hari di Park Royal Collection, Kuala Lumpur pada Rabu.
Acara tersebut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara organisasi pelancongan dari Hong Kong, Guangdong dan Macao dengan industri pelancongan Malaysia menerusi sesi jaringan dan pertukaran perniagaan.
Kerjasama antara tiga pihak itu pula mencerminkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat sebagai pasaran pelancongan ke luar negara.
Pengarah Eksekutif Hong Kong Tourism Board, Anthony Lau berkata Malaysia terus menjadi pasaran pelancong yang penting bagi pihaknya dan amat berbesar hati membawa acara promosi pelancongan Greater Bay Area ke sini pada tahun ini.
"Kini, pelancong semakin cenderung memilih percutian yang mudah dirancang tetapi kaya dengan pelbagai pengalaman, dan Greater Bay Area memenuhi keperluan tersebut menerusi jaringan pengangkutan yang cekap serta destinasi yang saling melengkapi.
"Hong Kong berada pada kedudukan strategik sebagai pintu masuk kepada pelbagai pengalaman pelancongan di China. Dengan adanya Kereta Api Berkelajuan Tinggi (High-Speed Rail) dan Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao, destinasi berhampiran di Greater Bay Area boleh dikunjungi dengan mudah, malah perjalanan ke kebanyakannya mengambil masa kurang daripada satu jam.
"Melalui kerjasama erat bersama rakan kami di Guangdong dan Macao serta industri pelancongan Malaysia, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pelancong menikmati pelbagai pengalaman menarik dalam satu perjalanan," katanya ketika acara yang turut menghimpunkan rakan industri pelancongan Malaysia, syarikat penerbangan, pihak berkepentingan dalam industri pelancongan serta wakil media bagi mengukuhkan kerjasama pelancongan.

Kepelbagaian tersebut membolehkan pelancong menikmati pengalaman berbeza di setiap destinasi sambil menikmati perjalanan yang mudah dalam satu wilayah yang saling berhubung.
"Kami berharap untuk terus memperkukuh kerjasama dengan industri pelancongan Malaysia serta mengalu-alukan lebih ramai pelawat untuk meneroka pelbagai pengalaman pelancongan yang ditawarkan oleh Guangdong, Hong Kong dan Macao, serta merasai kemeriahan dan dinamisme yang menjadi nadi Greater Bay Area," ujarnya.
Dalam acara itu, para tetamu turut menikmati pameran kulinari khas yang diinspirasikan daripada cita rasa unik Greater Bay Area.
Mewakili Hong Kong, Chinesology Hong Kong merupakan restoran makanan mewah Cina pertama yang disahkan halal, mempersembahkan pilihan hidangan Kantonis kontemporari.
Pameran kulinari ini turut menampilkan pelbagai sajian yang mewakili warisan gastronomi Greater Bay Area, termasuk tart telur Portugis, teh laici dan serradura (puding habuk kayu ala Macao) dari Macao, serta bebola bijan, ma lai go (kek kukus Cina) dan kuetiau gulung udang dari Guangdong, sekali gus memberi peluang kepada para tetamu menikmati kepelbagaian warisan kulinari rantau ini.
Pengarah Macao Government Tourism Office, Maria Helena de Senna Fernandes berkata Pelancong masa kini semakin mengutamakan pengalaman perjalanan yang lebih bermakna.
"Sebagai salah satu bandar utama di Greater Bay Area, Macao menawarkan gabungan unik antara budaya Timur dan Barat, selain memiliki dua pengiktirafan bertaraf antarabangsa, Pusat Bersejarah Macao yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.
"Bersama-sama Hong Kong dan Guangdong, Macao melengkapi keistimewaan yang ditawarkan oleh destinasi-destinasi berdekatan untuk mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih pelbagai dan bermakna.
"Melalui kerjasama yang lebih erat antara ketiga-tiga destinasi ini, kami mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Malaysia untuk meneroka Greater Bay Area menerusi perjalanan ke pelbagai destinasi, di samping menikmati kekayaan dan kepelbagaian tarikan pelancongan yang ditawarkan," katanya.
Untuk pengetahuan, bagi mempertingkatkan lagi pengalaman perjalanan rakyat Malaysia, HKTB telah menjalin kerjasama strategik bersama AirAsia dan tujuh ejen pelancongan yang mengambil bahagian bagi memperkenalkan pakej pelancongan Greater Bay Area serta pelbagai tawaran promosi.
Inisiatif ini bertujuan memudahkan pelancong menerokai pelbagai destinasi dalam satu perjalanan.
Merangkumi sembilan bandar di Wilayah Guangdong bersama Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Macao, Greater Bay Area menawarkan peluang kepada pelancong untuk menikmati kepelbagaian budaya, makanan serta tarikan pelancongan dalam satu perjalanan yang saling berhubung dengan lancar.
Hong Kong memikat pengunjung dengan latar langit ikonik, kawasan kejiranan yang meriah, pengalaman gastronomi bertaraf dunia serta landskap semula jadi yang menakjubkan. Bandar raya ini juga terus memperluaskan penawaran mesra Muslim menerusi peningkatan jumlah restoran yang diperakui halal serta restoran milik pengusaha Muslim, selain tarikan serta kemudahan yang lebih mesra Muslim.
Guangdong pula menawarkan gabungan dinamik antara inovasi, budaya dan gaya hidup moden, daripada landskap bandar Shenzhen yang moden hinggalah sejarah yang kaya serta tradisi kulinari Kantonis di Guangzhou.
Melengkapkan tarikan Hong Kong dan Guangdong, Macao menawan pengunjung dengan gabungan unik warisan Timur dan Barat, Tapak Warisan Dunia UNESCO, gastronomi terkenal serta resort bersepadu bertaraf antarabangsa. Bersama-sama, ketiga-tiga destinasi ini menawarkan pengalaman pelancongan pelbagai destinasi yang menarik, membolehkan pelawat menikmati yang terbaik di Greater Bay Area dalam satu perjalanan yang tidak dapat dilupakan.
Rangkaian pengangkutan yang komprehensif, termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao, turut menjadikan perjalanan di seluruh Greater Bay Area lebih mudah dan lancar.
Menyedari bahawa pelancong kini semakin mencari cadangan yang berdasarkan pengalaman sebenar ketika merancang percutian, acara ini turut menampilkan pencipta kandungan dari Malaysia yang baru sahaja menjelajah Greater Bay Area untuk berkongsi pengalaman mereka.
Pasangan pencipta kandungan William Seng dan Celine Chan berkongsi bagaimana Greater Bay Area merupakan pilihan ideal bagi pasangan yang ingin menikmati gabungan penerokaan bandar, pengalaman gastronomi serta penerokaan budaya dalam satu percutian.
Sementara itu, pencipta kandungan Muslim, Nana Mohd dan Ain Ramli, berkongsi pengalaman mereka menjelajah Greater Bay Area sambil menonjolkan penawaran mesra Muslim yang semakin berkembang serta pilihan makanan halal yang semakin meluas, sekali gus menjadikan destinasi ini lebih mudah diakses oleh pelancong Muslim.

Melalui perkongsian mereka, para tetamu dapat melihat bagaimana Greater Bay Area menghimpunkan tiga destinasi yang masing-masing menawarkan budaya, tarikan dan pengalaman tersendiri, membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman dalam satu perjalanan.
Di samping itu, Hong Kong Tourism Board, Department of Culture and Tourism of Guangdong Province dan Macao Government Tourism Office terus komited memperkukuh kerjasama dengan pasaran Malaysia dan menggalakkan lebih ramai pelancong menerokai kekayaan, kepelbagaian serta kesalinghubungan Greater Bay Area.
Dengan mengetengahkan keunikan Hong Kong, Guangdong dan Macao sebagai satu rangkaian destinasi yang saling terhubung, ketiga-tiga organisasi pelancongan ini berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelawat dari Malaysia untuk menikmati warisan budaya yang kaya, kepelbagaian gastronomi, tarikan bertaraf dunia serta pengalaman percutian pelbagai destinasi yang mudah dan lancar dalam satu perjalanan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Greater Bay Area, sila layari : www.discovergreaterbayarea.com
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan