Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

HSNZ Berjaya Rawat, Bedah Bayi Dengan Berat 500 Gram

Hannah
bayi 500 gram
Gambar: Hospital Sultanah Nur Zahirah

HSNZ Berjaya Rawat, Bedah Bayi Dengan Berat 500 Gram

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sekali lagi mencatatkan kejayaan membanggakan apabila pasukan perubatannya berjaya merawat dan melakukan pembedahan ke atas seorang bayi yang dilahirkan dengan berat hanya 500 gram, menjadikannya antara bayi paling kecil yang pernah dikendalikan di hospital itu.

Menurut HSNZ, kejayaan tersebut membuktikan kemajuan bidang perubatan moden serta mencerminkan dedikasi, kepakaran dan semangat kerjasama tinggi dalam kalangan petugas kesihatan yang terlibat.

"Perjalanan bayi ini bukanlah mudah..." - HSNZ

Difahamkan, ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), bayi itu mengalami Necrotising Enterocolitis (NEC).

"Ketika dirawat di NICU, beliau mengalami Necrotising Enterocolitis (NEC) dengan kebocoran usus, yang memerlukan pembedahan major laparotomi kecemasan.

"Ketika itu, bayi ini baru berumur 5 hari dan hanya seberat 500 gram. 3 bulan kemudian, bayi ini sekali lagi menjalani pembedahan untuk penutupan stoma, dan kedua-dua prosedur berjaya dilaksanakan dengan selamat," kongsi HSNZ.

Sepanjang hampir empat bulan dirawat di NICU, bayi kecil itu terus berjuang untuk hidup dan membesar.

Dengan pemantauan rapi serta usaha berterusan daripada pakar-pakar perubatan, jururawat NICU dan seluruh pasukan kesihatan, keadaannya semakin stabil sebelum akhirnya dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Gambar: Hospital Sultanah Nur Zahirah

HSNZ menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kisah yang membuktikan bahawa keajaiban dalam dunia perubatan lahir daripada gabungan ilmu pengetahuan, teknologi, dedikasi petugas kesihatan, doa serta harapan yang tidak pernah putus.

"Kisah ini mengingatkan kita bahawa dalam dunia perubatan, keajaiban bukan hanya berlaku di bilik pembedahan atau NICU. Ia lahir daripada gabungan ilmu, doa, harapan dan kegigihan.

"Bagi pejuang kecil ini, setiap gram membawa makna, setiap hari adalah kemenangan, dan setiap langkah ke hadapan adalah satu keajaiban.

"Daripada 500 gram kepada kepulangan yang dinanti-nantikan. Sebuah kisah keberanian, kasih sayang dan harapan yang tidak pernah padam," tambah HSNZ.