Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hujan Lebat Diramal Landa 4 Negeri, 1 Wilayah Hingga Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat buah negeri dan satu Wilayah sehingga jam 4 petang ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, amaran berkenaan dikeluarkan untuk seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di Selangor, antara kawasan yang dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat adalah Klang, Kuala Langat dan Sepang.
MetMalaysia melaporkan amaran yang sama dikeluarkan melibatkan Port Dickson di Negeri Sembilan.
Sementara itu, daerah Sibu (Kanowit), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Limbang di Sarawak antara kawasan yang dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
Selain itu, cuaca buruk yang sama diramal melanda Sabah iaitu daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort).
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata hantaran lagi.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.