Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hutang Negara AS Lepasi AS$40 Trilion Buat Kali Pertama

Hutang Negara AS
Kredit: AFP

Hutang negara kasar Amerika Syarikat (AS) melonjak melepasi AS$40 trilion buat kali pertama, sekali gus mengatasi unjuran terdahulu pada kadar yang sebahagiannya didorong oleh tarif Presiden Donald Trump yang telah dibatalkan.

Menurut AFP, peningkatan pinjaman itu menjadi tamparan kepada Trump yang sebelum ini berjanji untuk mengurangkan perbelanjaan awam ketika kempen pilihan raya presiden 2024, selain mencetuskan kritikan daripada wakil rakyat AS daripada pelbagai aliran politik.

Rekod baharu itu dicatat ketika komitmen jangka panjang AS berkaitan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan terus meningkat, manakala bayaran faedah turut melonjak.

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan AS pada Rabu, jumlah keseluruhan hutang awam tertunggak mencecah AS$40.05 trilion pada penutupan urus niaga Selasa.

Angka itu melepasi unjuran terdahulu Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), yang menganggarkan keseluruhan pinjaman akan mencecah AS$39.4 trilion menjelang akhir tahun fiskal 2026.

Hutang negara AS

Peningkatan hutang AS berlaku ketika kebimbangan terhadap inflasi dan perbelanjaan kerajaan terus menekan sentimen pelabur, manakala kos pinjaman semakin meningkat.

Perang di Asia Barat turut menambah tekanan ke atas Trump, selepas mengorbankan 18 anggota tentera AS dan melibatkan perbelanjaan ketenteraan sebanyak AS$37.5 bilion ketika konflik yang hampir berlarutan selama enam bulan.

Perbelanjaan pertahanan juga belum menunjukkan tanda untuk diperlahankan, selepas Dewan Perwakilan AS pada Julai meluluskan secara tipis rang undang-undang dasar pertahanan tahunan yang membenarkan peruntukan rekod AS$1.15 trilion kepada Pentagon.

Penjimatan daripada suruhanjaya Trump yang diwujudkan untuk mengurangkan jumlah tenaga kerja dan agensi persekutuan AS juga sukar diukur.

Pemerhati bebas mendakwa angka penjimatan yang diumumkan kerajaan AS menerusi laman Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang kini mencatat pemotongan sebanyak AS$215 bilion, tidak mencerminkan jumlah penjimatan sebenar.

Trump dikritik

Sementara itu, senator Republikan Rick Scott menyertai barisan ahli politik yang mengkritik peningkatan hutang itu dengan menggesa Kongres supaya mengawal perbelanjaan dan mengimbangi belanjawan.

“Rakyat Amerika berhak mendapat yang lebih baik,” tulisnya di X.

Senator Demokrat Mark Kelly, bekas juruterbang tempur Tentera Laut AS, pula menuduh Trump memperkayakan dirinya ketika hutang negara terus meningkat.

“Presiden pernah berkata beliau akan melangsaikan hutang dalam penggal pertamanya. Kita semua tahu itu satu pembohongan.

“Sebaliknya, beliau menaikkannya kepada AS$40 trilion ketika beliau dan keluarganya memperoleh berbilion-bilion dolar,” tulisnya.

Intipati
  • Hutang negara kasar AS mencecah AS$40.05 trilion pada penutupan urus niaga Selasa.
  • Angka itu melepasi unjuran CBO bagi keseluruhan pinjaman menjelang akhir fiskal 2026.
  • Peningkatan hutang mencetuskan kritikan wakil Republikan dan Demokrat terhadap perbelanjaan pentadbiran Trump.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan