Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ibu Bapa Perlu Cakna, Ambil Tahu 4 Perubahan Besar Menanti Anak Menjelang Sekolah 2027

perubahan sekolah 2027
Gambar: BERNAMA

Ibu Bapa Perlu Cakna, Ambil Tahu 4 Perubahan Besar Menanti Anak Menjelang Sekolah 2027

Ramai ibu bapa pernah berdepan situasi apabila anak sukar mengikuti pembelajaran di sekolah. 

Ada yang mengambil masa lebih lama untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Manakala, ada juga yang mula ketinggalan kerana tidak dapat mengikuti rentak pembelajaran rakan sebaya.

Bagi menangani cabaran ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), iaitu pembaharuan besar yang akan mengubah cara murid belajar di sekolah.

Walaupun pelaksanaan penuh dijadualkan bermula pada 2027, pembangunan dan persediaan ke arah kurikulum baharu ini sebenarnya telah dimulakan secara berperingkat sejak tahun ini.

Matlamat utama KP2027 adalah memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan dengan perkembangan teknologi, perubahan dunia pekerjaan serta keperluan pembelajaran abad ke-21. 

Pada masa sama, ia memberi penekanan kepada pembangunan murid secara menyeluruh, bukan hanya mengejar keputusan peperiksaan.

Persoalannya, apakah perubahan besar yang bakal memberi kesan kepada anak-anak dan juga ibu bapa?

1. Penguasaan membaca, menulis dan mengira menjadi keutamaan

Salah satu fokus utama KP2027 ialah memastikan setiap murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sejak peringkat awal persekolahan.

Melalui pendekatan ini, guru dapat mengenal pasti lebih awal murid yang memerlukan bantuan tambahan sebelum mereka terus ketinggalan dalam pembelajaran. 

Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kadar keciciran akademik serta memberi peluang kepada setiap murid membina asas pembelajaran yang kukuh.

2. Pembentukan karakter tidak lagi diajar secara teori, tetapi dipraktikkan setiap hari

Jika sebelum ini nilai murni banyak dipelajari melalui buku teks atau penerangan guru, KP2027 membawa pendekatan yang berbeza.

Pembentukan karakter kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di sekolah. 

Murid akan dibimbing membina nilai seperti disiplin, hormat, empati, integriti, toleransi dan semangat bekerjasama melalui amalan harian.

Sebagai contoh:

  • Menghormati guru dan rakan dipraktikkan ketika berada di dalam kelas.

  • Murid membersihkan meja selepas makan bagi membentuk sikap bertanggungjawab.

  • Amalan beratur di kantin pula digunakan untuk memupuk nilai toleransi dan menghormati hak orang lain.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, pendekatan ini membolehkan murid melihat sendiri bagaimana sesuatu nilai diamalkan dalam kehidupan sebenar, sekali gus menjadikannya satu budaya.

Bagi menyokong usaha ini, KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter dari prasekolah hingga sekolah menengah.

Di prasekolah, pembentukan karakter diterapkan melalui rutin harian seperti menyusun kasut, berkongsi makanan, membantu rakan dan menjaga kebersihan.

Di sekolah rendah dan menengah pula, sebanyak 60 minit seminggu diperuntukkan dalam jadual waktu untuk aktiviti pembentukan karakter secara praktikal. 

3. Pembelajaran bersepadu - Belajar beberapa mata pelajaran melalui satu projek

Satu lagi perubahan besar ialah pendekatan Pembelajaran Bersepadu, yang menghubungkan beberapa mata pelajaran dalam satu aktiviti.

Misalnya, menerusi satu lagi komponen penting KP2027 iaitu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu.

Komponen ini menekankan pembudayaan ilmu yang menggabung jalin pelbagai disiplin daripada elemen muzik, kesihatan, seni, sains, TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan digital.

Sebagai contoh, murid mungkin menjalankan projek menanam pokok cili. Melalui satu projek itu sahaja, mereka boleh belajar:

  • Sains – memerhati pertumbuhan pokok.

  • Matematik – mengukur ketinggian pokok dan merekod data.

  • Bahasa Melayu – menulis laporan atau berkongsi hasil pemerhatian.

  • Pendidikan Seni – melukis pokok dan persekitarannya.

Pendekatan ini membantu murid melihat kaitan antara apa yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan sebenar, selain menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Suasana pembelajaran juga dijangka menjadi lebih menyeronokkan kerana murid belajar melalui pengalaman.

4. Pendekatan "co-teaching" diperkasakan - Dua guru dalam satu kelas bantu murid belajar dengan lebih baik

KP2027 turut memperkukuh pendekatan co-teaching atau pengajaran kolaboratif. Melalui kaedah ini, dua atau lebih guru bekerjasama mengendalikan sesi pembelajaran dalam kelas.

Pendekatan ini membolehkan guru memberi perhatian yang lebih menyeluruh kepada murid mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Sebagai contoh, ketika seorang guru menerangkan topik kepada seluruh kelas, seorang lagi boleh memberi bimbingan kepada murid yang masih memerlukan bantuan atau menyediakan aktiviti tambahan kepada murid yang lebih cepat memahami pelajaran.

Kaedah ini bukan sahaja membantu murid yang memerlukan sokongan tambahan, malah membolehkan guru berkongsi kepakaran serta merancang pengajaran yang lebih berkesan.

Turut diperkenalkan tiga tahap pembelajaran baharu

Selain empat perubahan utama itu, KP2027 turut menyusun semula pembelajaran sekolah rendah kepada tiga tahap yang lebih sesuai dengan perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak.

Tahap I (Tahun 1 dan Tahun 2) memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan membina minat murid untuk hadir ke sekolah.

Tahap II (Tahun 3 dan Tahun 4) pula menekankan aplikasi ilmu, iaitu murid bukan sekadar memahami teori, tetapi mengaitkannya dengan dunia sebenar.

Tahap III (Tahun 5 dan Tahun 6) memberi fokus kepada pemikiran analitis, inovasi, pembentukan jati diri serta kesedaran tentang peranan mereka sebagai anggota masyarakat global.

Langkah baharu demi masa depan pendidikan negara

Secara keseluruhannya, KP2027 membawa perubahan yang lebih besar berbanding kurikulum sedia ada.

Jika sebelum ini tumpuan banyak diberikan kepada pencapaian peperiksaan, kurikulum baharu ini meletakkan keutamaan kepada penguasaan kemahiran asas, pembentukan sahsiah, pembelajaran yang lebih praktikal serta pembangunan potensi murid secara menyeluruh.

Dengan sokongan ibu bapa, guru dan pihak sekolah, KP2027 diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki karakter yang baik, mampu berfikir secara kritis serta lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.