Ibu tunggal ditipu ‘RM 50,000’ dalam masa 12 jam
Seorang ibu tunggal berusia 36 tahun di Singapura dilaporkan kehilangan RM 50,000 daripada simpanannya dalam tempoh 12 jam selepas terjerumus dalam sindiket penipuan pekerjaan.
Dakwa wanita itu, dia telah menerima mesej daripada nombor yang didaftarkan di Malaysia dan menawarkan kerja sambilan yang akan dibayar sebanyak RM 161 sehingga RM 1,610 sehari.
Gambar yang disertakan dengan mesej teks itu menunjukkan logo platform beli-belah dalam talian Shopee. Pengirim juga mendakwa sebagai perekrut untuk platform tersebut.
Wanita itu membalas kiriman tersebut dan berminat dengan tawaran itu, dan telah dirujuk kepada perekrut lain pada pukul 9 pagi, 10 September lalu. Dia juga telah diterima bekerja serta-merta.
Apa yang dia perlu lakukan adalah seperti yang diarahkan iaitu dengan mengklik “like” pada produk tertentu di Shopee dan mendapat bayaran RM 6.50 hingga RM 9.60 setiap balasan.
“Selepas saya membuat beberapa ulasan, saya diberitahu bahawa telah melepasi “tempoh percubaan” dan boleh memasuki peringkat seterusnya,” kata wanita itu.
Dia kemudian diberitahu telah dinaik taraf menjadi ‘pembeli’ di platform beli-belah dalam talian Amazon. Dengan setiap pembelian di platform itu, dia akan dibayar komisen sebanyak 20 peratus dari nilai harga item yang dibeli.
Bagaimanapun, modus operandi penipuan itu ialah meminta wanita tersebut memindahkan wang barang berkenaan ke akaun bank yang ditetapkan. Perekrut kemudiannya akan menghantar pautan kepadanya untuk membuat pesanan di platform yang dipanggil Amazon itu.
Wanita itu perlu mengklik pada pautan yang diberikan dan membuat pesanan pada laman web yang diarahkan kepadanya.
Pada mulanya, wanita itu menerima beberapa ratus dolar sebagai komisen seperti yang dijanjikan sejurus berjaya menyelesaikan tugas pertama.
Penipuan itu berterusan seperti yang diharapkan dan mangsa kemudian diminta untuk membeli produk yang lebih mahal, tetapi pada satu ketika, dia dimaklumkan bahawa terdapat ralat atau kelewatan dalam prosedur dan pesanan itu gagal.
Untuk mendapatkan wangnya kembali, wanita itu telah diberitahu untuk membuat pesanan berulang kali dengan janji bahawa dia akan mendapatkan wangnya setelah pesanan diproses dengan betul.
Pada akhirnya, wanita itu telah memindahkan sejumlah RM50,000 kepada penipu itu, dan penipu itu terus meminta wanita itu membuat pesanan. Wanita tersebut kemudian menyedarinya dan tidak lagi meneruskan pesanan itu.
Dia telah menghubungi polis untuk melaporkan perkara itu setelah menyedari bahawa dia telah ditipu.
Wanita itu berkata dia telah kehilangan pekerjaan semasa wabak dan terpaksa tinggal di rumah untuk menjaga anaknya yang jatuh sakit.
Oleh sebab itu, dia tidak dapat bekerja sepenuh masa dan akhirnya mencari cara untuk menjana wang secara atas talian.
Dia kini menerima bantuan kewangan daripada kakaknya, kerana dia tidak mampu menyara dua anaknya yang masih bersekolah.
Wanita itu juga sempat memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan atas talian seperti itu.
Sumber: Mothership
